Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Selasa

20 Mac 2018

7:07:02 PTG
886404

Bekas Presiden Perancis Kena Tahan

Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy ditahan polis, hari ini berhubung kes yang mendakwa pemimpin Libya, Muammar Gaddafi membiayai kempen pilihan raya beliau pada 2007.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy ditahan polis, hari ini berhubung kes yang mendakwa pemimpin Libya, Muammar Gaddafi membiayai kempen pilihan raya beliau pada 2007.

Sarkozy turut disoal siasat pendakwa raya yang khusus dalam kes rasuah, pengubahan wang haram dan pengelakan cukai di pejabat mereka di Nanterre.

Sebelum ini, pemimpin berhaluan kanan berusia 63 tahun itu didakwa enggan memberi sebarang respons selepas beliau dipanggil berhubung siasatan kes itu.


Berita penahanan beliau pertama kali dilaporkan laman berita siasatan, Mediapart dan akhbar Le Monde.

Difahamkan, Brice Hortefeux, menteri kanan yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Sarkozy turut disoal siasat sebagai sebahagian daripada siasatan kes tersebut.

Sarkozy menjadi tumpuan selepas kes siasatan itu dibuka pada 2013, namun pemimpin terbabit menafikan dakwaan tersebut yang didakwa berpunca daripada kemarahan rejim Libya atas penyertaannya dalam campur tangan kempen ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun.

Kes itu kembali mendapat perhatian pada November 2016 selepas seorang ahli perniagaan mengaku menghantar tiga beg bimbit mengandungi wang tunai daripada pemimpin Libya sebagai sumbangan kepada kempen Sarkozy.

Wawancara bersama laman Mediapart mendedahkan, Ziad Takieddine berkunjung dari Tripoli ke Paris sebanyak tiga kali pada akhir 2006 dan awal 2007.

Menurutnya, ketiga-tiga beg bimbit tersebut yang diserahkan oleh Ketua Risikan Tentera, Abdallah Senussi mengandungi wang kertas 200 euro (RM961) dan 500 euro (RM2,404) berjumlah 1.5-2 juta euro (RM7.2-9.6 juta). - AFP