Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Ahad

25 Mac 2018

1:18:08 PTG
886896

Pelajar Ketuai Bantahan Senjata Api Di A.S

Lebih sejuta warga Amerika Syarikat (AS) dengan suara bersemangat membanjiri bandar raya di seluruh negara itu, hari ini untuk menuntut kawalan lebih ketat ke atas penggunaan senjata api.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Lebih sejuta warga Amerika Syarikat (AS) dengan suara bersemangat membanjiri bandar raya di seluruh negara itu, hari ini untuk menuntut kawalan lebih ketat ke atas penggunaan senjata api.

Bantahan itu diketuai kumpulan remaja dari Sekolah Tinggi Florida, tempat kejadian tembakan yang mengorbankan 17 nyawa, bulan lalu.

"Ahli politik sepatutnya mewakili rakyat, jika tidak sila letak jawatan," kata Cameron Kasky, pelajar Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland dalam ucapan kepada perhimpunan besar di Washington.

Kasky adalah salah seorang pemimpin pergerakan pelajar yang muncul susulan insiden tembakan di sekolah itu pada 14 Februari lalu.

Jumlah penunjuk perasaan ramai turut dilaporkan di Atlanta, Boston, Chicago, Dallas, Denver, Los Angeles, Miami, Minneapolis, Seattle dan lebih 800 bandar di seluruh dunia, menurut penganjur 'March For Our Lives'.

"Pelajar ini akan mengubah Amerika," kata Datuk Bandar Bill de Blasio kepada 175,000 yang menyertai perarakan itu di New York.

Bagaimanapun, perarakan terbesar adalah di Washington di mana penganjur memaklumkan NBC News lebih 800,000 orang mengambil bahagian dan ia adalah perhimpunan kawalan senjata terbesar di AS sejak Million Mom March pada 2000. - AFP