Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Jumaat

25 Mei 2018

10:50:05 PG
894893

Indonesia Lulus Undang-Undang Keganasan Baharu

Kerajaan Indonesia, hari ini meluluskan undang-undang baharu yang akan memberikan kuasa lebih meluas kepada polis untuk mengambil tindakan awal terhadap suspek pengganas selepas negara itu digemparkan siri serangan ganas oleh radikal.

AgensI Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan Indonesia, hari ini meluluskan undang-undang baharu yang akan memberikan kuasa lebih meluas kepada polis untuk mengambil tindakan awal terhadap suspek pengganas selepas negara itu digemparkan siri serangan ganas oleh radikal.

Di bawah undang-undang baharu itu, pihak berkuasa kini boleh menahan suspek pengganas selama 21 hari berbanding tujuh hari sebelum ini.

Sebelum ini, rang undang-undang tersebut ditangguhkan selama dua tahun kerana parlimen membantah kandungannya termasuk bagaimana mendefinisikan keganasan.

Bagaimanapun, gelombang pengeboman berani mati pada bulan ini telah meningkatkan tekanan kepada penggubal undang-undang untuk meluluskan rang undang-undang tersebut.

Awal bulan lalu, sekurang-kurangnya 13 terbunuh dalam insiden serangan bom berani mati berasingan menyasarkan gereja dan balai polis di Surabaya didalangi dua keluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun.

Keluarga terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian ekstremis tempatan yang menzahirkan taat setia kepada Daesh.

Ia disifatkan sebagai serangan terburuk sejak pengeboman di Bali pada 2002 yang meragut lebih 200 nyawa termasuk pelancong asing.

Kebimbangan terhadap situasi keselamatan di negara itu semakin meningkat berikutan Indonesia dijadualkan menganjurkan Sukan Asia pada Ogos ini dan mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)-Bank Dunia di Bali pada Oktober depan. - AFP