Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, tiba di Washington untuk mengumumkan keputusan itu bersama Setiausaha Negara, Mike Pompeo.

Dalam sidang akhbar bersama semalam, Pompeo turut dilaporkan menggelar majlis tersebut sebagai ‘pembela hak asasi manusia yang lemah’.

Pengumuman itu dibuat selepas pegawai kanan UNHRC mengkritik Washington kerana cuba memisahkan kanak-kanak pelarian daripada ibu bapa mereka yang mencari suaka setelah menyeberang ke negara itu dari Mexico.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Zeid Ra’ad Al Hussein mengutuk dasar itu dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak masuk akal.

Haley dan Pompeo menegaskan keputusan itu dibuat selepas usaha yang panjang untuk me­lakukan pembaharuan terhadap majlis itu dan menghapuskan negara-negara anggota yang terlibat melakukan pelanggaran hak asasi manusia.

“Pembaharuan ini diperlukan untuk menjadikan majlis sebagai peguam bela yang serius untuk hak asasi manusia.

“Sudah terlalu lama UNHRC menjadi pelindung kepada pencabul hak asasi manusia, dan penipuan politik yang berat. Malangnya, sekarang jelas bahawa seruan kami untuk pembaharuan tidak diendahkan,” katanya.

Majlis yang berpusat di Geneva dan ditubuhkan pada 2006, se­ring dikritik kerana membenarkan negara-negara yang rekod hak asasi manusia boleh dipersoalkan menjadi ahli.

Aktivis, bagaimanapun berpendapat, langkah AS boleh menjejaskan usaha memantau dan menangani pelanggaran hak asasi manusia di seluruh dunia.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui jurucakapnya, menegaskan pihaknya kesal dengan tindakan AS dan mahu negara itu terus kekal dalam majlis tersebut.

Zeid Ra’ad pula, menyifatkan keputusan AS sebagai tindakan yang mengecewakan tetapi sudah dijangka sementara Israel pula memuji keputusan itu.

Sementara itu Ketua Eksekutif Human Rights Watch, Kenneth Roth turut mengkritik langkah itu, memberi amaran bahawa ketiadaan Washington di majlis itu akan memberi peluang kepada kerajaan lain untuk menangani masalah paling serius di dunia itu.

“Penarikan pentadbiran Trump adalah satu gambaran menyedihkan tentang dasar hak asasi manusia satu dimensi negara itu.

“UNHRC telah memainkan pe­ranan penting di negara-negara seperti Korea Utara, Syria, Myan­mar dan selatan Sudan tetapi Trump lebih berminat mempertahankan Israel daripada kritikan berbanding perkara lain,” tegas­nya.–AFP