Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Selasa

10 Julai 2018

4:13:56 PG
901146

Jerman Dan China Komited Terhadap JCPOA

Jerman dan China kembali menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerja di dalam kerangkan perjanjian nuklear tahun 2015 yang ditandatangani di antara Iran dan negara-negara kumpulan P5 + 1 berikutan tindakan unilaterak A.S yang sebelum ini menarik diri daripada perjanjian bersejarah itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jerman dan China kembali menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerja di dalam kerangkan perjanjian nuklear tahun 2015 yang ditandatangani di antara Iran dan negara-negara kumpulan P5 + 1 berikutan tindakan unilaterak A.S yang sebelum ini menarik diri daripada perjanjian bersejarah itu.

Bercakap semasa sidang media bersama yang turut disertai oleh Perdana Menteri Republik Rakyat China, Li Keqiang pada hari Isnin, Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan bahawa perjanjian nuklear yang secara rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) sebelum ini telah dirundingkan dengan baik.

Perdana Menteri China juga memberi amaran berhubung kesan-kesan yang tidak dapat dijangka jika perjanjian itu menemui kegagalan.

"Kami tetap komited kepada perjanjian nuklear tetrsebut, kami berpendapat bahawa perjanjian itu telah dirundingkan dengan baik," kata Merkel "(Masih terdapat) banyak perkara yang perlu dirundingkan dengan Iran, tetapi kami berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk kekal di dalam perjanjian itu."

Walau bagaimanapun, Merkel menyatakan bahawa Berlin tidak mampu melindungi syarikat-syarikat antarabangsa yang melabur di Iran daripada risiko tindakan perundangan oleh pihak Amerika Syarikat. Menurut beliau juga, firma atau individu tersebut perlu menilai sendiri sebelum memutuskan sama ada untuk melabur di Iran atau sebaliknya.

Terdahulu, seorang jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Hua Chunying, menyatakan kesungguhan Beijing untuk meneruskan usaha untuk melindungi perjanjian nuklear 2015, dengan mengemukakan lima usul.

"Ketika berhadapan dengan situasi yang rumit dan kritikal pada masa ini, China dengan jelas mengusulkan lima perkara sambil menekankan secara khusus bahawa (di dalam menanggapi isu ini) peraturan antarabangsa harus dipatuhi, negara-negara kuasa besar perlu menunjukkan integriti dan rasa tanggungjawab yang sewajarnya, konsep sekatan unilateral hanya akan menghasilkan natijah yang bertentangan dengan keinginan seseorang serta harus ditinggalkan dan (akhir sekali), sebarang dialog dan rundinagn harus dibuat dengan mematuhi pendekatan yang membina ketika berbincang berhubung isu-isu yang membabitkan kebimbangan bersama," kata Hua.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 8 Mei lepas mengumumkan bahawa Washington telah menarik diri daripada perjanjian nuklear tersebut sambil menambah dengan mengatakan bahawa beliau merancang untuk memperkenalkan semula sekatan berkaitan program nuklear Iran ke atas Tehran.

Hartawan dari parti Republikan itu turut berjanji untuk mengenakan sekatan ekonomi pada "tahap tertinggi" ke atas Republik Islam tersebut melalui sekatan-sekatan baharu.

Di bawah JCPOA, Iran berjanji untuk menghadkan program nuklearnya dan sebagai pertukaran terhadap komitmen Tehran, A.S serta sekutu mereka bersetuju untuk menghapuskan sekatan berkaitan nuklear yang dikenakan terhadap Tehran sebelum ini.

Lavrov pada hari Isnin berkata bahawa keputusan yang diambil oleh Perancis, Jerman dan Britain berkaitan penggunaan dolar A.S sebelum ini hanya menyasarkan syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang berurusan dengan Tehran.