Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Selasa

10 Julai 2018

9:45:28 PG
901173

A.S Sasarkan Sektor Pelancongan Iran, Beberapa Syarikat Henti Penerbangan

Kerajaan Amerika Syarikat mengatakan bahawa mereka telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas sebuah syarikat agen pelancongan Malaysia yang dioperasikan bagi pihak syarikat penerbangan swasta Iran, Mahan Air.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan Amerika Syarikat mengatakan bahawa mereka telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas sebuah syarikat agen pelancongan Malaysia yang dioperasikan bagi pihak syarikat penerbangan swasta Iran, Mahan Air.

Sebelum ini, Mahan Air sendiri sudahpun berada di dalam senarai sekatan yang dikeluarkan oleh Washington.

Sekatan itu dibuat ketika A.S bersiap-sedia untuk memperkenalkan "sekatan terkuat dalam sejarah" terhadap negara Iran. Perkembangan ini menyusuli tindakan Presiden Donald Trump yang sebelum ini mengambil keputusan untuk mengeluarkan Washington daripada perjanjian nuklear Iran tahun 2015.

"Rentetan daripada tindakan hari ini, semua harta dan kepentingan milik Mahan Travel and Tourism Sdn Bhd yang berada di A.S ataupun di dalam juridiksi (Washington) akan disekat," kata Jabatan Perbendaharaan A.S dalam satu kenyataan hari ini.

Siri pertama daripada sekatan unilateral A.S yang menyasarkan sektor automotif Iran, perdagangan emas dan beberapa industri lain dijangka akan dikuatkuasakan semula pada 4 Ogos ini.

Sekatan seterusnya pula akan menyasarkan industri minyak serta sebarang transaksi dengan bank pusat Iran. Siri kedua ini dijangka akan berkuat kuasa pada 6 November akan datang.

Trump memberi masa selama 180 hari kepada syarikat-syarikat berkaitan bagi menimbang sama ada untuk menghentikan perniagaan mereka dengan Iran atau menamatkan perniagaan dengan A.S.

Syarikat penerbangan Belanda, KLM pada hari Sabtu lepas telah memutuskan untuk menangguhkan penerbangan terus ke Tehran "atas sebab-sebab komersil."

"Rentetan daripada kesimpulan-kesimpulan negatif dan prospek kewangan bagi operasi (kami di) Tehran, penerbangan terakhir akan berlepas dari Amsterdam pada 22 September 2018 dan mendarat di Schiphol pada 23 September," kata mereka di dalam satu kenyataan ringkas di laman web syarikat.

KLM menyambung semula penerbangan ke Tehran pada tahun 2016 apabila perjanjian nuklear yang ditandatangani antara Iran dan negara-negara dunia mula dikuatkuasakan. Syarikat penerbangan Belanda telah menghentikan operasi mereka di Iran pada tahun 2013 selepas kuasa Barat menguatkan sekatan ke atas Republik Islam Iran.

Austrian Airlines juga pada hari Jumaat mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan perkhidmatan ke bandar-bandar Iran termasuk Isfahan dan Shiraz, bermula pada bulan September ini. Akan tetapi, mereka akan meneruskan penerbangan ke Tehran.