Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

8 Ogos 2018

3:40:53 PTG
904705

A.S Larang Perniagaan Dengan Republik Islam Iran

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberikan amaran keras terhadap sebarang pihak yang melakukan transaksi perdagangan dengan Iran dengan mengatakan bahawa mereka akan disekat daripada berniaga dengan negaranya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberikan amaran keras terhadap sebarang pihak yang melakukan transaksi perdagangan dengan Iran dengan mengatakan bahawa mereka akan disekat daripada berniaga dengan negaranya.

“Mereka yang menjalankan perniagaan dengan Iran tidak boleh berniaga dengan Amerika Syarikat,” tulis beliau di dalam akaun Twitternya.

Sesetengah sekatan yang dikenakan semula telahpun berkuatkuasa semalaman. Akan tetapi, sekatan berkaitan eksport minyak dijangka akan bermula pada bulan November tahun ini.

Sementara itu, di Iran, negara Timur Tengah itu menyifatkan tindakan A.S yang memperkenalkan semula sekatan berkaitan nuklear atas Iran sebagai sebuah ‘perang psikologi’ semata-mata.

Pakej sekatan negara polis dunia itu ke atas Iran menyasarkan sektor automotif Iran, urus niaga emas, perbankan, minyak mentah serta eksport keluli Republik Islam tersebut.

Berkaitan perkembangan yang sama, Presiden Iran, Hassan Rouhani mengecam sambil merujuk kepada tawaran Trump untuk berunding semula dengan Iran dengan berkata bahawa berunding dengan cara mengenakan sekatan sama sekali tidak masuk akal.

“Kami (di Tehran) sentiasa bersedia untuk menggunakan saluran diplomasi dan perbincangan. Akan tetapi perbincangan memerlukan kejujuran,” katanya yang merujuk kepada tindakan A.S yang sebelum ini meninggalkan perjanjian nuklear 2015 setelah rundingan bertahun di antara dua negara tersebut.

Langkah Washington ini merupakan tindakan susulan Amerika Syarikat (A.S) yang pada bula Mei lalu telah menarik balik komitmen mereka terhadap Perjanjian Nuklear tahun 2015.

Sebelum ini, Presiden A.S, Donald Trump turut memberi amaran keras bahawa pihak yang cuba mencabul sekatan itu akan berhadapan dengan risiko negatif.

Menurut percaturan Trump, beliau yakin bahawa tekanan ekonomi akan membuat Iran bersetuju dengan satu perjanjian baharu untuk menamatkan program nuklearnya dan beberapa perkara lain.

Sementara itu, menteri-menteri Luar United Kingdom, Perancis dan Jerman antara negara-negara yang turut memeterai perjanjian nuklear JCPOA itu bersama Rusia dan China, mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap sekatan terkini Washington tersebut.

Mereka turut menekankan bahawa perjanjian itu kekal penting kepada keselamatan sejagat dalam acuan sistem kawalan pembangunan program nuklear global.

Hassan Rouhani juga mendakwa Trump cuba menggunakan Iran sebagai modal politik domestik beliau menjelang pilihan raya Amerika Syarikat pada pertengahan November ini.

Sebelum ini, di dalam sebuah temuramah Presiden itu itu memberitahu wartawan bahawa A.S akan menyesal kerana mengenakan sekatan semula ke atas Iran.