Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Khamis

9 Ogos 2018

2:40:29 PTG
904811

Kerajaan Colombia secara rasmi mengiktiraf keberadaan entiti Palestin sebagai sebuah negara berdaulat sekaligus memberikan tamparan diplomatik terkini ke atas rejim penindas Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan Colombia secara rasmi mengiktiraf keberadaan entiti Palestin sebagai sebuah negara berdaulat sekaligus memberikan tamparan diplomatik terkini ke atas rejim penindas Israel.

Menurut sepucuk surat dari Kementerian Luar Negara Colombia yang diterbitkan untuk tatapan awam pada hari Rabu, bekas Presiden Colombia, Juan Manuel Santos telah mengiktiraf negara Palestin pada 3 Ogos lalu, beberapa hari sebelum beliau digantikan oleh Ivan Duque.

"Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa atas nama kerajaan Colombia, Presiden Juan Manuel Santos telah memutuskan untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara bebas, merdeka dan berdaulat," baca surat yang dialamatkan kepada Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki.

Ia juga menyatakan bahawa rakyat Palestin "mempunyai hak untuk membentuk sebuah negara merdeka."

Kerajaan Colombia yang baru "akan memeriksa dengan teliti" sebarang bentuk "implikasi" rentetan daripada keputusan itu dan "akan bertindak mengikut undang-undang antarabangsa," kata Menteri Luar Negeri Carlos Holmes dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kedutaan Palestin di Bogota memuji tindakan kerajaan Colombia.

"Kami menghargai kerajaan Colombia di atas keputusan ini dan kami yakin perkara ini akan menyumbang secara ketara dalam rangka mewujudkan syarat-syarat yang perlu dalam usaha mencari perdamaian di Timur Tengah," kata misi diplomatik itu dalam sebuah komunikasi diplomatik.

Keputusan tersebut menjadikan Colombia negara Amerika Selatan yang terakhir dalam mengiktiraf negeri Palestin yang merdeka.

Palestin berusaha untuk mewujudkan sebuah negara merdeka di wilayah-wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmuqaddis dengan yang terakhir sebagai ibu negaranya.

Pada bulan November 2012, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mengundi untuk menaik taraf status Palestin daripada "entiti pemerhati bukan anggota" kepada "negara pemerhati bukan ahli" di sebalik tentangan kuat daripada pihak rejim Israel.

Bendera negara Palestin juga dinaikkan buat kali pertama di ibu pejabat PBB di New York pada September 2015 yang lalu.

Bagaimanapun usaha Palestin untuk membina sebuah negara telah terjejas berikutan kegiatan penempatan haram Israel di tanah yang diduduki dan langkah-langkah anti-Palestin yang terbaru, di antaranya pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap Baitulmuqaddis al-Quds sebagai "ibu negara" Israel dan penempatan semula kedutaan Washington dari Tel Aviv ke al-Quds.