Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Khamis

6 September 2018

2:58:27 PTG
908298

Trump Pernah Arah Mattis Bunuh Basyar Assad?

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa pernah mengarahkan agar Presiden Syria, Bashar al-Assad dibunuh tahun lalu tetapi Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis enggan menurut arahan berkenaan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa pernah mengarahkan agar Presiden Syria, Bashar al-Assad dibunuh tahun lalu tetapi Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis enggan menurut arahan berkenaan.

Dakwaan itu didedahkan menerusi sebuah buku baharu berjudul Fear: Trump in the White House yang ditulis oleh wartawan yang pernah mendedahkan mengenai skandal Watergate iaitu Bob Woodward.

Buku terbabit, yang dijadualkan dikeluarkan pada 11 September merupakan yang terbaharu mendedahkan ketegangan dalam pentadbiran White House di bawah kepemimpinan Trump sejak memegang jawatan terpenting itu pada 20 bulan lalu.

Menurut buku tersebut, beberapa pembantu tertinggi Trump kadangkala mengabaikan arahan Trump yang disifatkan oleh mereka sebagai berbahaya dan memudaratkan.

“Itu cuma satu lagi buku yang tidak bagus,” kata Trump kepada agensi berita Daily Caller.

Berdasarkan buku berke­naan, Trump mengarahkan Mattis untuk membunuh Bashar selepas Presiden Syria itu melancarkan serangan beracun terhadap penduduk di negara itu pada April tahun lalu.

Mattis memberitahu Trump bahawa ‘beliau akan melakukannya’ tetapi sebaliknya me­rancang satu pelan serangan yang tidak mengancam Bashar.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh Mattis semalam, beliau menafikan dakwaan yang dikemukakan oleh buku terbabit dan Trump tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut.

Sementara itu jurucakap White House, Sarah Sanders berkata, buku itu ‘tidak lebih daripada sekadar kisah palsu diceritakan oleh bekas pekerja yang tidak berpuas hati, bagi membuatkan Trump kelihatan jahat’.

Dalam perkembangan lain, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan pertemuan pada Jumaat ini bagi membincangkan isu berkaitan situasi di wilayah Idlib, Syria selepas tentera Rusia melancarkan sera­ngan terhadap kumpulan pemberontak.

Menurut Duta AS ke PBB, Nikki Haley, UNSC mengadakan mesyuarat tersebut untuk membincangkan kemungkinan tentera Syria yang disokong oleh Rusia akan melancarkan senjata kimia terhadap pembe­rontak dan penduduk tempatan di wilayah berkenaan.

“Sekiranya senjata kimia digunakan, AS akan bertindak,” ujar Haley. – Agensi