Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Isnin

10 September 2018

12:12:17 PTG
908743

A.S Bakal Tutup Pejabat Misi Palestin Di Washington

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (A.S), Donald Trump dijangka menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington sambil mengancam untuk mengambil tindakan terhadap sebarang langkah anti-Israel oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (A.S), Donald Trump dijangka menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington sambil mengancam untuk mengambil tindakan terhadap sebarang langkah anti-Israel oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Penasihat Keselamatan Kebangsaan A.S John Bolton dijadualkan membuat pengumuman tersebut di dalam ucapannya bertema, "Melindungi Konstitusi dan Kedaulatan Amerika dari Ancaman Antarabangsa," kepada kumpulan konservatif dari Persatuan Federalis pada hari Isnin ini, lapor Wall Street Journal pada malam Ahad.

"Amerika Syarikat akan sentiasa berdiri bersama rakan dan sekutu kami, Israel," kenyataan yang akan dibuat oleh penasihat keselamatan negara, John Bolton, berdasarkan draf ucapannya yang disusun oleh WSJ.

"Pentadbiran Trump tidak akan membenarkan pejabat (PLO) terus beroperasi apabila rakyat Palestin sendiri menolak untuk memulakan rundingan bermakna dan langsung dengan Israel," kata Bolton.

Bolton akan mengatakan bahawa penutupan pejabat tersebut merupakan petunjuk kepada kebimbangan kongres yang Palestin mungkin akan berjaya di dalam meminta (Mahkamah Antarabangsa) ICC untuk melancarkan siasatan terhadap Israel.

Bolton juga dijangka mengancam untuk mengenakan sekatan keras terhadap ICC sekiranya mereka memutuskan untuk meneruskan permintaan pihak terbabut dalam menyiasat A.S dan Israel.

Amerika Syarikat bimbang bahawa ICC mungkin akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas anggota tentera mereka yang berkhidmat di Afghanistan.

"Jika mahkamah mengambil tindakan ke atas kami, Israel atau sekutu lain, kami tidak akan duduk diam," kata Bolton.

Menurut ucapan yang disediakan oleh Bolton sendiri, Washington bersedia untuk mengharamkan hakim ICC dan para pendakwa daripada memasuki bumi A.S. Washington juga akan mengambil tindakan ke atas akaun bank mahkamah tersebut. Tindakan balas undang-undang juga akan dipertimbangkan.

"Kami akan mengenakan sekatan ke atas dana mereka dalam sistem kewangan Amerika Syarikat, dan kami akan mendakwa mereka dalam sistem jenayah A.S," kata Bolton. "Kami akan melakukan perkara yang sama untuk mana-mana syarikat atau negara yang membantu siasatan ICC terhadap rakyat Amerika."

/315