Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Rabu

26 September 2018

7:04:36 PTG
910672

Jangan Jadi "Pak Turut" Kerana Diancam A.S

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini menggesa pemimpin dunia menolak ‘undang-undang kuasa besar’ ketika membidas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggunakan pendekatan sesuka hati ketika menghadapi cabaran global.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini menggesa pemimpin dunia menolak ‘undang-undang kuasa besar’ ketika membidas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggunakan pendekatan sesuka hati ketika menghadapi cabaran global.

Macron tidak menyebut nama Presiden AS itu tetapi ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggariskan beberapa perkara yang bertentangan dengan pendirian Trump mengenai hal ehwal antarabangsa.

“Ada yang mengikut undang-undang pihak paling berkuasa tetapi itu tidak melindungi mana-mana orang,” kata Macron yang memperakui sekali lagi pendiriannya menyokong kuat dasar ‘multilateral’ yang diwakili badan dunia dan usaha damainya di seluruh dunia.

Berbeza dengan Trump yang berucap lebih awal dengan berikrar bahawa beliau tidak akan menyerah kedaulatan AS kepada birokrasi global yang tidak dipilih rakyat, tiada akauntabiliti selain menolak ‘ideologi globalisme.’

Sejak Trump mengambil alih pada tahun lalu, AS menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran dan perjanjian alam sekitar Paris, dua perjanjian yang mendapat sokongan Perancis.

Ketika mempertahankan perjanjian nuklear Iran, Macron menggesa dialog dengan Tehran, sekali lagi bertentangan dengan pendirian pemimpin AS itu yang beberapa jam sebelum ini meminta pemimpin dunia menjauhi Iran.

“Apakah penyelesaian terbaik kepada keadaan di Iran dan apakah yang menyebabkannya stabil? Undang-undang pihak yang paling berkuasa? Beri tekanan kepada satu pihak? Tidak!” kata Macron.

Washington sudah memotong pembiayaan kepada PBB termasuk agensi badan dunia itu manakala misi pengaman di Mali dan Republik Asia Tengah membabitkan kerjasama dengan Perancis untuk memperkukuh kestabilan.

Macron juga merujuk kepada peningkatan ketidakseimbangan ekonomi sebagai salah satu faktor punca krisis orde dunia dengan 783 juta orang hidup di bawah paras kemiskinan manakala 250 juta kanak-kanak tidak bersekolah.

Merujuk kepada konflik Israel-Palestin, beliau berkata, tiada jalan lain yang lebih baik daripada mewujudkan dua negara bagi menyelesaikan isu itu dengan menyifatkan Trump mengancam proses damai dengan mengumumkan Baitulmaqdis ibu negara Israel. - AFP