Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Jumaat

5 Oktober 2018

4:15:37 PTG
911673

Jumpa Mayat Ayah, Kakak Berpelukan

Seorang gadis bukan sahaja berdepan kejadian bencana alam bahkan turut kehilangan ahli keluarganya dalam bencana tsunami di Indonesia baru-baru ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang gadis bukan sahaja berdepan kejadian bencana alam bahkan turut kehilangan ahli keluarganya dalam bencana tsunami di Indonesia baru-baru ini.

Edi Setiawa ketika ditemui di daerah Petobo mendedahkan bagaimana saat dia menemui mayat bapa dan kakaknya.

"Saya jumpa mayat ayah berpelukan dengan kakak. Mujurlah ibu saya sempat diselamatkan penduduk kampung sewaktu sedang bergelut dalam lumpur," ujarnya.

Menurutnya, dia turut bekerjasama dengan penduduk kampung untuk menyelamatkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Malah, mereka juga sempat menyelamatkan seorang wanita mengandung yang terperangkap di dalam lumpur sewaktu bencana itu menimpa negara itu.

Seorang lagi mangsa, Puteri Pratiwi memberitahu dia berjaya menyelamatkan diri sewaktu tsunami melanda namun sedih kerana sepupunya terkorban dalam kejadian itu.

"Sewaktu gempa, saya berlari laju dan sempat berpaut pada tiang. Sepupu saya pun lari sama tapi dia dihanyutkan tsunami," ujarnya kepada CNN.

Selain Edi dan Puteri, seorang lagi mangsa, Nurjati Katili kini terpaksa menjadi penjaga apabila anak saudaranya kehilangan ibu dan adik menerusi kejadian tsunami di Palu pada Jumaat lalu.

Selain bersedih kerana terkenangkan keluarganya yang hilang, kanak-kanak itu turut mengalami hilang selera makan.

Di sebuah perkampungan nelayan di Donggala pula, seorang lelaki mendedahkan kehilangan hampir seluruh ahli keluarganya.

Dalam tragedi itu, tujuh ahli keluarga Andi hilang termasuklah anak bongsunya yang ditemui mati di sebuah masjid tempatan.

"Saya pun tak cam wajah anak saya, cuma cam pakaiannya sahaja," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, gempa bumi dengan kekuatan 7.5 skala richter menggegarkan Palu sehingga menyebabkan berlakunya tsunami- Mirror.UK.