Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Free Malaysia Today
Isnin

12 November 2018

5:01:59 PTG
916312

Tanzania Pecat Dua Menteri Kerana Harga Gajus Jatuh

Presiden Tanzania, John Magufuli, berkata kerajaan mampu membeli stok gajus negara itu selepas beliau memecat 2 menteri dan membubarkan pengawal selia industri terbabit dalam satu pertikaian berhubung harga komoditi tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Tanzania, John Magufuli, berkata kerajaan mampu membeli stok gajus negara itu selepas beliau memecat 2 menteri dan membubarkan pengawal selia industri terbabit dalam satu pertikaian berhubung harga komoditi tersebut.

Bulan lepas, Magufuli mengarahkan kenaikan sebanyak 94% bagi harga gajus pada lelongan pengawal selia industri itu dan memecat ketua-ketua organisasi terbabit dalam satu langkah yang disifatkan beliau sebagai bertujuan melindungi petani daripada harga rendah yang merugikan.

Gajus merupakan tanaman eksport negara Afrika Timur itu yang paling bernilai, namun kejatuhan harga mendorong petani Tanzania menghentikan penjualan kerana mendakwa kos operasi lebih tinggi berbanding hasil yang diperoleh.

Menteri Pertanian, Charles Tizeba dan Menteri Perdagangan, Charles Mwijage digugurkan daripada jawatan masing-masing, kata presiden itu.

Japhet Hasunga dinamakan sebagai menteri Pertanian yang baharu manakala Joseph Kakunda akan bertanggungjawab dalam perdagangan.

Magufuli, yang mendakwa lembaga gajus gagal menguruskan industri dengan betul sehingga menyebabkan kejatuhan harga komoditi tersebut, turut membubarkan badan itu.

Kerajaan Tanzania meminta pembeli gajus menyerahkan pelan pembelian mereka menjelang Isnin.

Pada Sabtu, Magufuli melawat satu unit tentera dan memeriksa 75 kenderaan yang bakal digunakan kerajaan bagi memudahkan pembelian gajus di negara itu jika pembeli swasta gagal berbuat demikian pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu 3,000 Shilling (AS$1.31) bagi setiap kg.

Kerajaan akan menggunakan tentera dan lembaga tanaman campuran untuk membeli semua gajus pada harga lebih tinggi daripada 3,000 Shilling, kata Magufuli.

“Jika pembeli swasta gagal memberi respons kepada kerajaan dan memaklumkan kepada kami berapa tan yang mereka ingin beli menjelang Isnin, kerajaan akan membeli semua gajus dan kami memiliki wang untuk berbuat demikian,” katanya.

Para petani mengadu harga semasa 1,500 Shilling bagi sekilogram gajus tidak berupaya menampung kos pengeluaran mereka.