Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Khamis

15 November 2018

7:58:08 PTG
916730

Pelarian Rohingya Enggan Pulang

Keraguan pelarian Rohingya terhadap rancangan penghantaran pulang sebahagian mereka ke kampung halaman di Myanmar jelas kelihatan hari ini apabila tiada seorang pun mahu berbuat demikian.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Keraguan pelarian Rohingya terhadap rancangan penghantaran pulang sebahagian mereka ke kampung halaman di Myanmar jelas kelihatan hari ini apabila tiada seorang pun mahu berbuat demikian.

Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mohammad Abul Kalam berkata, daripada 50 keluarga Rohingya yang ditemu bual, kesemuanya enggan dihantar pulang ke negeri Rakhine kerana mereka berasa tidak selamat untuk berada di sana.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada sukarelawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tiada seorang pun pelarian Rohingya yang bakal dihantar pulang menyatakan kesediaan mereka untuk balik ke Rakhine.

“Mereka secara jelas menyatakan rasa bimbang jika keselamatan diri masih terancam seperti keadaan sebelum ini,” katanya.

Namun, Mohammad Abul tidak menyatakan sama ada proses penghantaran tersebut akan diteruskan atau sebaliknya.

Beliau menjelaskan kerajaan Bangladesh tidak akan memaksa pelarian Rohingya untuk kembali ke Rakhine dan hanya mereka yang bersedia serta secara sukarela mahu berbuat demikian akan dihantar pulang.

Bagaimanapun usaha untuk menghantar pelarian Rohingya pulang masih mendapat bantahan beberapa badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mereka tidak yakin dengan tahap keselamatan di Rakhine.

Bangladesh sebelum ini merancang untuk menghantar kira-kira 150 daripada 2,260 pelarian Rohingya sebagai kumpulan pertama ke Rakhine.

Dalam pada itu, Ketua Komuniti Rohingya, Nur Islam memberitahu bahawa 99 peratus ke­luarga yang berada dalam senarai untuk dihantar pulang telah melarikan diri ke beberapa kem pelarian lain.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa peningkatan jumlah anggota tentera Bangladesh yang ditempatkan di kebanyakan kem pelarian Rohingya menimbulkan keresahan golongan minoriti tersebut.

“Banyak anggota tentera dan polis ditempatkan dalam beberapa kem pelarian dan mereka se­ring memeriksa kad pengenalan pelarian Rohingya. Keadaan kini sangat teruk dan tegang,” jelas­nya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence semalam menyelar pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi bahawa keganasan serta penindasan terhadap etnik Rohingya dilakukan ‘tanpa sebab’ sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan. – AFP