Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Free Malaysia Today
Jumaat

16 November 2018

4:05:50 PTG
916823

AS Pertimbang Usir Musuh Erdogan, Cuba Kawal Perkelahian Turki-Saudi

Rumah Putih sedang mencari jalan untuk mengusir musuh Presiden Recep Erdogan, daripada Amerika Syarikat dalam usaha meredakan tekanan Turki ke atas Arab Saudi dalam isu pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, lapor laman berita NBC News.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Rumah Putih sedang mencari jalan untuk mengusir musuh Presiden Recep Erdogan, daripada Amerika Syarikat dalam usaha meredakan tekanan Turki ke atas Arab Saudi dalam isu pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, lapor laman berita NBC News.

Para pegawai pentadbiran Donald Trump bulan lalu meminta agensi penguatkuasaan undang-undang mengkaji cara mengusir agamawan Fethullah Gulen secara sah, menurut 2 pegawai kanan AS dan 2 lagi orang yang diberi taklimat mengenai permintaan itu.

Usaha itu termasuk mengarahkan Jabatan Kehakiman dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) membuka semula kes Turki meminta ekstradisi Gulen, dan meminta Jabatan Keselamatan Tanahair memberikan maklumat mengenai status mastautin beliau.

Usaha rahsia untuk menyelesaikan salah satu punca ketegangan dalam hubungan AS-Turki itu menyingkap bagaimana Presiden Donald Trump cuba mengemudi permusuhan antara 2 sekutu utamanya selepas pegawai kerajaan Saudi membunuh Kashoggi di kedutaan Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lepas.

Perkembangan itu mencadangkan Rumah Putih mencari cara mengawal kemarahan Erdogan sambil menjaga hubungan rapat Trump dengan pemimpin Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman.

Erdogan terus menekan dengan membocorkan keterangan dan menuduh Salman mendalangi pembunuhan Kashoggi, seorang penulis kolum di akhbar Washington Post dan pengkritik kepimpinan Saudi.

Hubungan Rumah Putih dengan Salman penting dalam matlamat Trump melawan Iran dan membantu mencapai suatu perjanjian damai Israel-Palestin. Turki merupakan sekutu NATO dan memiliki bukti mengenai pembunuhan Kashoggi, yang memberi keupayaan kepada Erdogan untuk menimbulkan kemarahan dunia terhadap Riyadh.

Selepas pembunuhan Khashoggi, Erdogan nampaknya ternampak peluang untuk menekan pentadbiran Trump dalam isu Gulen, menurut pegawai kerajaan AS dan orang-orang yang maklum akan hal itu.

Erdogan menuduh Gulen seorang pengganas yang mendalangi cubaan rampasan kuasa terhadap kerajaan Erdogan pada 2016. Selepas cubaan rampasan kuasa itu, Ankara secara rasmi meminta AS menghantar pulang Gulen ke Turki.

Gulen seorang pemastautin tetap dan menetap di AS sejak lewat 1990-an.

Gulen, yang sendiri membuang diri ke AS selama hampir 2 dekad, menafikan sebarang pembabitan dalam cubaan rampasan kuasa itu.