Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Selasa

20 November 2018

4:27:05 PTG
917419

Tentera AS Di Sempadan Mexico Diberi Kuasa Tambahan

Rumah Putih berkemungkinan memberi kuasa tambahan kepada tentera Amerika Syarikat (AS) yang bertugas di sempadan Mexico, bertujuan untuk melindungi kakitangan kastam dan sempadan jika diperlukan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Rumah Putih berkemungkinan memberi kuasa tambahan kepada tentera Amerika Syarikat (AS) yang bertugas di sempadan Mexico, bertujuan untuk melindungi kakitangan kastam dan sempadan jika diperlukan.

Menurut seorang pegawai yang enggan dikenali, satu pengumuman terbuka akan dibuat hari ini dan butiran terperinci masih disediakan.

Terdapat kira-kira 5,900 tentera bertugas secara aktif di sempadan Mexico atas arahan Presiden Donald Trump dengan matlamat membantu memperkukuh kawalan sempadan susulan kebanjiran kumpulan besar pendatang dari Amerika Tengah.

Tentera AS ketika ini tidak mempunyai kuasa melindungi anggota lain di sempadan.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) enggan mengulas jika kuasa diberi kepada tentera akan berubah, namun ia tidak akan membenarkan kakitangannya dicederakan.

“Kami akan melakukan segala-gala yang boleh untuk melindungi mereka yang mempertahankan kedaulatan negara dan melindungi sempadan.

"Kami menghargai campur tangan Jabatan Pertahanan dalam membantu Jabatan Keselamatan Dalam Negeri seperti diperlukan,” kata jurucakap DHS, Katie Waldman.

Pentagon berkata, tiada rancangan bagi pasukan tentera AS berinteraksi dengan pendatang dan mereka hanya menjalankan tugas sokongan seperti membetulkan wayar dan membina perumahan sementara untuk diri mereka dan kakitangan sempadan.

Sehingga kini, kira-kira 6,000 rakyat Amerika Tengah telah sampai ke bandar sempadan Tijuana dan Mexicali, dan lebih ramai lagi pendatang dijangka akan tiba. - Reuters