Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Selasa

27 November 2018

6:29:37 PTG
918478

A.S Tutup Laluan Sempadan Mexico

Amerika Syarikat (AS) menutup laluan sempadan paling sibuk dengan Mexico semalam selepas polis negara itu menyuraikan bantahan pendatang Amerika Tengah di sini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat (AS) menutup laluan sempadan paling sibuk dengan Mexico semalam selepas polis negara itu menyuraikan bantahan pendatang Amerika Tengah di sini.

Tindakan polis itu menyebabkan beberapa kumpulan pendatang melarikan diri ke sempadan AS namun pada masa sama anggota keselamatan AS pula melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka dari pagar sempadan.

Lalu lintas di kedua-dua arah pintu masuk pelabuhan San Ysidro antara San Diego dan Tijuana, kawasan sempadan paling sibuk di Western Hemisphere turut ditutup, lapor agensi Perlindungan Sempadan dan Kastam AS menerusi Twitter.

Polis negara ini yang lengkap dengan perisai menyuraikan pendatang dan penunjuk perasaan berkenaan namun mereka kemudian berlari ke arah pegawai agensi berkenaan yang bertindak melepaskan gas pemedih mata.

Kerajaan Mexico kemudian memaklumkan, pihaknya berjaya mengawal keadaan di laluan sempadan itu selepas hampir 500 pendatang cuba untuk menyeberang sempadan AS ‘dengan cara ganas’.

Negara ini juga berikrar akan menghantar balik kesemua 500 pendatang Amerika Tengah itu yang cuba memasuki AS secara haram.

Presiden Donald Trump sebelum ini berkali-kali memberi amaran tentang gerombolan pendatang Amerika Tengah cuba memasuki AS dan merancang memohon suaka sebaik sahaja tiba di negara itu.

Ketegangan di sempadan memuncak sejak beberapa hari lalu dengan beribu-ribu pendatang berkhemah di luar stadium sukan di sini manakala beratus-ratus lagi berkumpul dekat laluan utama sempadan.

Pendatang terbabit yang mengaku melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan berkata, mereka akan terus menunggu di kawasan itu sehingga berjaya memohon suaka walaupun AS bercadang untuk mengetatkan kawasan sempadan.

Semalam, beratus-ratus pendatang termasuk golongan wanita dan kanak-kanak mengadakan tunjuk perasaan aman dengan melaungkan slogan ‘Kami bukan penjenayah! Kami pekerja rajin’.

Ketika tiba di sebuah jambatan dan tangga menuju ke medan berhampiran sempadan AS, mereka telah ditahan oleh pihak berkuasa Mexico yang mengarahkan mereka menunggu sehingga mendapat kebenaran.

Namun keesokan paginya mereka yang mengetahui tidak akan memperoleh kebenaran telah bergerak ke arah terusan antara Tijuana dan San Diego menuju ke pagar sempadan. – REUTERS