Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Sabtu

1 Disember 2018

4:55:19 PTG
918938

Amerika Enggan Sah Jenayah Genosid

Kumpulan Undang-undang Hak Asasi Manusia (PILPG) mengesahkan wujud bukti kukuh berlaku pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kumpulan Undang-undang Hak Asasi Manusia (PILPG) mengesahkan wujud bukti kukuh berlaku pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Laporan tersebut yang dijang­ka dibentang oleh kumpulan itu pada Isnin ini, turut mengesahkan bahawa tentera negara berkenaan melakukan jenayah perang dan kemanusiaan termasuk pembunuhan beramai-ramai atau genosid.

PILPG diarahkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) untuk menemubual pelarian Rohingya sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kekejaman yang dilakukan terhadap etnik itu.

Jabatan tersebut pada September lalu menyiarkan laporan berdasarkan siasatan PILPG yang mendapati tentera Myanmar melakukan ‘perancangan rapi dan menyelaraskan’ kempen pembunuhan beramai-ramai, rogol berkumpulan dan penyeksaan terhadap etnik Rohingya.

Walau bagaimanapun jabatan berkenaan enggan mengesahkan serangan yang dilakukan sebagai pembunuhan beramai-ramai atau jenayah terhadap kemanusiaan kerana pegawai-pegawai AS menyifatkannya sebagai ‘isu perdebatan dalaman’.

Jika AS mengisytiharkan serangan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai maka ia akan memberi implikasi undang-undang yang membolehkan Washington mengenakan hukuman lebih berat terhadap Myanmar.

Ini menyebabkan pentadbiran Presiden Donald Trump berhati-hati untuk mendedahkan penilaian berkenaan sebaliknya hanya menyifatkan serangan itu sebagai ‘penghapusan etnik’.

PILPG memberitahu, pihaknya akan mendedahkan bahawa ‘wujud asas kukuh untuk merumuskan berlaku jenayah perang, kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Rohingya’.

Laporan itu dibuat berdasarkan temu bual lebih 1,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh’.

Kumpulan itu memaklumkan misi tersebut telah dilakukan pada Mac dan April lalu ‘untuk memberikan keputusan tepat corak jenayah penderaan dan kekejaman’ yang dilakukan.

Sementara iu, para pegawai di Jabatan Negara AS memberitahu, objektif siasatan bukan untuk menentukan berlakunya pembunuhan beramai-ramai.

Sebaliknya bertujuan ‘mendokumenkan fakta’ dan terpulang kepada Setiausaha Negara, Mike Pompeo untuk ‘menentukan undang-undang’ yang wajar pada masa hadapan.

Sementara itu polis Bangladesh berjaya menahan seramai 10 pelarian Rohingya yang cuba menaiki sebuah bot di Shah Porir Dwip untuk ke Malaysia.

Anggota Batalion Tindakan Pantas Elit (RAB) memaklumkan, enam wanita dan empat lelaki Rohingya dikatakan ditahan sebelum sempat menaiki bot berkenaan di sungai Naf. – Reuters/AFP

“Wanita yang ditahan berusia bawah 22 tahun dipercayai menuju ke Malaysia melalui Teluk Bengal dengan harapan dapat mengahwini lelaki kaya di Malaysia,’’ kata Ketua RAB, Mahedi Hasan.– Reuters/AFP