Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Isnin

10 Disember 2018

5:02:28 PTG
920099

Hak Asasi Manusia Ala Eropah Gagal

Presiden Turki, Recep Tay­yip Erdogan menyifatkan siri tunjuk pera­saan yang dilakukan pergerakan ‘ves kuning’ khususnya bantahan kenaikan harga bahan api di Perancis mendedahkan kegagalan Eropah dalam sistem demokrasi dan hak asasi manusia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Turki, Recep Tay­yip Erdogan menyifatkan siri tunjuk pera­saan yang dilakukan pergerakan ‘ves kuning’ khususnya bantahan kenaikan harga bahan api di Perancis mendedahkan kegagalan Eropah dalam sistem demokrasi dan hak asasi manusia.

PressTv yang memetik Recep Tayyip sebagai berkata, tunjuk perasaan yang dilakukan secara besar-besaran itu juga menunjukkan Eropah gagal dalam menyediakan kebebasan bersuara terhadap rakyat.

“Turki secara jelas membantah semua tunjuk perasaan yang mencetuskan keganasan serta kemusnahan. Namun, apa yang berlaku di Perancis secara jelas menunjukkan Eropah gagal mewujudkan sistem demokrasi, hak asasi manusia serta ke­bebasan yang baik.

“Dinding keselamatan yang Eropah bina selama ini semakin goyah dan bukannya disebabkan oleh kemasukan golongan pendatang mahupun komuniti Islam, tetapi berpunca daripada penduduknya sendiri,” katanya ketika berucap dalam himpunan rakyat di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kekecohan yang berlaku kini berpunca daripada kumpulan militan Kurdis iaitu Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang bebas beroperasi di rantau Eropah.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Perancis menahan hampir 2,000 penunjuk perasaan di seluruh negara semalam.

Pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 126 orang cedera di Paris termasuk tiga anggota polis, namun tiada kecederaan parah.

Dianggarkan seramai 125,000 penunjuk perasaan berhimpun di seluruh negara dengan 10,000 di Paris, selain menyaksikan banyak kemusnahan berlaku.

Kumpulan penunjuk perasaan memecahkan pintu depan premis-premis perniagaan selain kenderaan juga dibakar.

Selain itu, tunjuk perasaan juga berlangsung di beberapa bandar lain termasuk Lyon, Bordeaux, Toulose, Marseille dan Grenoble.

Perhimpunan ves kuning itu turut merebak ke beberapa negara Eropah yang lain termasuk Belgium dan Belanda, menyaksikan penunjuk perasaan menyekat jalan-jalan utama.

Beberapa rakaman video me­nunjukkan polis perusuh menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Edouard Phillipe berikrar untuk ‘mengembalikan semula perpaduan kebangsaan’ di negara itu.

Jelasnya, peningkatan cukai dan harga bahan api tidak seharusnya menjadikan Perancis sebagai sebuah negara bergolak.

Beliau juga menegaskan bahawa Presiden, Emmanuel Macron akan mengambil langkah sewajarnya untuk meredakan keadaan.