Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Selasa

11 Disember 2018

2:27:28 PTG
920159

Macron Mengalah Untuk Tamatkan Protes Ves Kuning

Presiden Perancis Emmanuel Macron menjanjikan kenaikan gaji minimum dan pengecualian cukai sebagai antara langkah menamatkan tunjuk perasaan ‘ves kuning’ yang mencetuskan huru-hara di negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Perancis Emmanuel Macron menjanjikan kenaikan gaji minimum dan pengecualian cukai sebagai antara langkah menamatkan tunjuk perasaan ‘ves kuning’ yang mencetuskan huru-hara di negara itu.

Protes membantah kenaikan bahan bakar, kos sara hidup dan beberapa isu lain itu kini memasuki minggu keempat dan mengakibatkan kemusnahan di seluruh Perancis termasuk bandar Paris.

Berucap dalam siaran televisyen dari Istana Elysee semalam, Macron mengecam protes ganas tersebut namun mengakui kemarahan penunjuk perasaan adalah mendalam dan 'sah'.

Antara perubahan yang dijanjikan kerajaan Macron termasuk kenaikan gaji minimum, pengecualian cukai ke atas bayaran kerja lebih masa, galakan kepada majikan untuk memberi bonus hujung tahun kepada pekerja, dan penghapusan bayaran tambahan terhadap kebanyakan pencen.

Macron bagaimanapun enggan mengenakan kembali cukai ke atas golongan kaya, dengan alasan ia melemahkan negara dan peluang kerja perlu diwujudkan.

Butiran lanjut tentang janji Macron akan diumumkan Perdana Menteri Édouard Phillipe di Parlimen, namun menurutnya terdapat kenaikan untuk pekerja dengan gaji minimum bermula Januari tahun depan.

Macron mengaku gagal menyelesaikan konflik berkenaan secepat mungkin namun bertegas, tidak akan menerima sebarang bentuk keganasan kerana ia menggugat kebebasan negara.

Tunjuk perasaan 'ves kuning' pada 1 November lalu bermula sebagai protes terhadap kenaikan harga minyak, namun ia bertukar kepada protes anti kerajaan yang menyaksikan ratusan orang cedera dan ribuan lagi ditahan pihak berkuasa.

Janji terbaharu Macron merupakan usaha kedua beliau mengawal krisis berkenaan, terdahulu kerajaannya membatalkan cadangan menaikkan harga minyak, namun ia tidak mampu mengekang kemaraan peserta bantahan yang bertindak ganas. - BBC