Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Isnin

24 Disember 2018

5:55:56 PTG
921997

Suu Kyi Figura Dibenci Dunia

Untuk sekian lama, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi disanjung masyarakat dunia, organisasi global dan ketua-ketua politik kerana perjuangan beliau mengembalikan demokrasi serta reformasi kepada tanah airnya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Untuk sekian lama, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi disanjung masyarakat dunia, organisasi global dan ketua-ketua politik kerana perjuangan beliau mengembalikan demokrasi serta reformasi kepada tanah airnya.

Bermula sebagai figura yang dipandang tinggi, namun dalam sekelip mata, Suu Kyi menjadi nama yang cukup ‘dibenci’ masyarakat dunia.

Selepas satu persatu kezaliman dilakukan pemerintahan Myanmar terhadap etnik Rohingya didedahkan, Suu Kyi secara berterusan dikecam dan dikritik kerana bersikap tidak campur tangan dalam isu tersebut.

Ketika anak-anak dan lelaki etnik minoriti Rohingya dibunuh kejam, wanita pula diperkosa dan orang tua ditindas, Suu Kyi sebaliknya hanya sekadar berdiam diri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentafsirkan pem­bunuhan beramai-ramai dan penganiayaan terhadap komuniti tersebut sebagai satu tindakan yang bermatlamatkan untuk menghapuskan etnik itu dari bumi Myanmar.

Pemimpin-pemimpin dunia turut mengecam kesombongan Suu Kyi, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menganggap pemimpin Myanmar itu tidak mampu berbuat apa-apa.

Dalam satu mesyuarat November lalu, Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence memberitahu pemenang Hadiah Nobel itu bahawa, penganiayaan dilakukan terhadap etnik Rohingya adalah tidak wajar.

Beberapa organisasi antarabangsa pula menunjukkan penentangan terhadap Suu Kyi dengan menarik balik anugerah dan penghormatan yang diberikan kepadanya.

Yayasan Memorial 18 Mei Korea Selatan merupakan organisasi terbaru yang melucutkan penganugerahan yang diberikan kepada pemimpin itu.

Walaupun beliau dibenar menyimpan Hadiah Nobel Keamanan yang diterimanya pada 1991, pelbagai negara dan badan antarabangsa memutuskan untuk menamatkan hubungan dengan figura yang pernah menjadi sanjungan dunia itu.

Berikut merupakan beberapa anugerah dan penghormatan diterima Suu Kyi yang telah ditarik balik.

Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju

Sebuah kumpulan hak asasi manusia terbesar di Korea Selatan, Yayasan Memorial 18 Mei melucutkan Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju yang diterima Suu Kyi pada 2014.

Jurucakap yayasan tersebut berkata kekejaman ke atas Rohingya bertentangan dengan nilai-nilai yang dipegang dalam penganugerahan tersebut iaitu melindungi dan mempromosikan hak-hak asasi manusia.

Duta Besar Hati Nurani

Pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di London, Amnesty International menarik balik anugerah berprestij yang diberikan kepada Suu Kyi pada 2009 kerana tindakan pemimpin tersebut yang berdiam diri tentang keganasan ke atas etnik Rohingya.

Organisasi tersebut mendakwa, Suu Kyi gagal bersuara dan ‘melindungi’ tentera Myanmar yang bertindak kejam, menggelar tindakan wanita itu sebagai pengkhianatan terhadap nilai yang pernah diperjuangkannya.

Anugerah Ellie Wiesel

Muzium Memorial Holocaust Amerika Syarikat menarik balik anugerah tertinggi yang diberi kepada Suu Kyi atas kegagalan beliau menghentikan serangan ketenteraan terhadap etnik Islam Rohingya. Pemimpin itu merupakan penerima pertama anugerah tersebut yang diberikan kepadanya pada 2012.

Dalam surat yang dipaparkan di dalam laman web muzium tersebut, Suu Kyi bersama Liga Nasional Demokrasinya enggan bekerjasama dengan badan siasatan PBB dengan melakukan serangan kebencian terhadap minoriti tersebut dan menghalang kemasukan wartawan ke Rakhine.

Gelaran Kehormat Berkaitan Kebebasan

Jurucakap kepada Datuk Bandar Paris pada 30 November lalu berkata, keputusan itu telah dibuat kerana beberapa siri pencabulan hak asasi manusia direkodkan di Myanmar dan kekejaman dilakukan pasukan keselamatan negara itu terhadap Rohingya.

Tindakan tersebut menjadikan Suu Kyi sebagai individu pertama yang dilucutkan daripada penerima anugerah yang cukup simbolik itu.