Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Rabu

2 Januari 2019

6:26:20 PTG
923276

Trump Punca 'Kekecewaan' Di Seluruh Dunia

Bekas calon Presiden dari Parti Republikan, Mitt Romney mengkritik hebat kepemimpinan Presiden Donald Trump dan mendakwa pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu telah menyebabkan 'kekecewaan' di seluruh dunia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bekas calon Presiden dari Parti Republikan, Mitt Romney mengkritik hebat kepemimpinan Presiden Donald Trump dan mendakwa pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu telah menyebabkan 'kekecewaan' di seluruh dunia.

Menerusi tulisan yang disiarkan oleh Washington Post hari ini, Romney mengkritik sejumlah tindakan serta keputusan yang dibuat oleh Trump pada Disember lalu.

“Pelantikan pegawai-pegawai kanan yang kurang berpengalaman, mengabaikan sekutu yang berjuang bersama Amerika dan enggan menerima hakikat bahawa negara ini menuju kehancuran adalah ciri-ciri yang terdapat dalam sistem pentadbirannya.

“Tutur kata dan tindakannya telah menyebabkan kekecewaan banyak pihak di seluruh dunia,” tulis Romney.

Beliau menyatakan, ‘baki pentadbiran Trump dalam tempoh dua tahun dilihat sebagai bukti kepada kegagalan beliau mewujudkan kerajaan AS yang kukuh’.

White House hingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kenyataan Romney.

Trump pada Februari tahun lalu mencalonkan Romney untuk bertanding merebut kerusi Senator di Utah.

Dalam tulisan itu juga, Romney secara tegas mempertahankan kebebasan akhbar dan menyelar serangan berulang Trump di beberapa saluran berita sebagai ‘musuh rakyat’.

Sementara itu, anggota Demokrat di Dewan Perwakilan bercadang untuk melakukan undian esok bagi meluluskan pakej pembiayaan untuk mengakhiri krisis penutupan kerajaan atau shutdown yang sudah memasuki hari ke-10.

Demokrat juga bercadang untuk tidak memperuntukkan dana bernilai AS$5 bilion (RM20.6 bilion) seperti yang diminta Trump bagi membangunkan tembok sempadan antara AS dengan Mexico.

Pakej tersebut turut mengandungi rang undang-undang bagi memastikan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menerima pembiayaan pada kadar yang sama ketika ini sehingga 8 Februari dan tiada peruntukan untuk pembinaan tembok baharu.

Sekiranya diluluskan, pakej pembiayaan itu akan diuruskan oleh Dewan Senator. – REUTERS