Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Sabtu

5 Januari 2019

5:34:24 PTG
923683

Pejuang AA, Tentera Myanmar Bertempur

Kumpulan pejuang Rohingya, Tentera Arakan (AA) didakwa melancarkan serangan terhadap empat balai polis berdekatan sempadan Bangladesh, hari ini dan menahan sebanyak 14 ‘tahanan perang’ ketika serangan terbabit.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kumpulan pejuang Rohingya, Tentera Arakan (AA) didakwa melancarkan serangan terhadap empat balai polis berdekatan sempadan Bangladesh, hari ini dan menahan sebanyak 14 ‘tahanan perang’ ketika serangan terbabit.

Bagaimanapun, masih belum ada laporan berhubung angka korban melibatkan kedua-dua pihak dalam serangan sebelum waktu subuh itu.

Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Zaw Min Tun berkata, serangan awal pagi itu berlaku di pekan Buthidaung, utara ne­geri Rakhine.

“Kami boleh mengesahkan serangan terhadap empat balai polis dilakukan oleh AA.

“Namun kami masih tiada maklumat berkaitan angka korban atau kecederaan,” katanya.

Tambahnya, tentera telah menghantar pasukan sokongan dan pertempuran berlaku sehingga petang.

Dalam pada itu, AA menerusi kenyataan di Facebook berkata, mereka telah menahan 14 orang tebusan ketika dua helikopter tentera melancarkan serangan.

Namun kenyataan itu tidak mengaitkan insiden tersebut dengan serangan di balai polis seperti didakwa tentera Myanmar.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam melahirkan kebimbangan terhadap kira-kira 2,500 etnik Rohingya yang kini melarikan diri ke biara tempatan.

Rakhine berdepan krisis sejak beberapa minggu lalu susulan pertempuran antara AA dan pasukan keselamatan, menyebabkan ribuan orang melarikan diri. – AFP