Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Khamis

7 Februari 2019

5:17:23 PTG
928100

Rohingya Dilayan ‘Seperti Lembu’ – Angelina Jolie

Wakil Pertubuhan Bang­sa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Angelina Jolie menggesa supaya kerajaan dan pihak berkuasa Myanmar menunjukkan komitmen yang kukuh untuk menamatkan konflik berdarah terhadap etnik Rohingya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Wakil Pertubuhan Bang­sa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Angelina Jolie menggesa supaya kerajaan dan pihak berkuasa Myanmar menunjukkan komitmen yang kukuh untuk menamatkan konflik berdarah terhadap etnik Rohingya.

Ini bagi memastikan keselamatan mereka selepas dihantar pulang semula ke tempat asal komuniti terbabit.

Jolie berkata demikian ketika mengunjungi beberapa kem pelarian yang menempatkan kira-kira 740,000 etnik Rohingya sejak Ogos 2017.

Kunjungan itu dilakukan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memohon bantuan dana berjumlah hampir bilion dolar bagi membantu kesemua etnik Rohingya di kem-kem pelarian yang ada di negara ini.

“Adalah amat menyedihkan apabila bertemu dengan keluarga Rohingya yang hanya tahu tentang penganiayaan dan tidak mempunyai hak kewarganegaraan sepanjang hayat mereka, selain memaklumkan mereka dilayan seperti lembu.

“Kesemua keluarga Ro­hingya yang saya temui di sini tiada beza dengan kumpulan pelarian lain iaitu mereka ha­nya ingin pulang ke kampung halaman mereka dengan selamat dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya seperti dipetik portal berita The Guar­dian.

Jolie menegaskan, kesemua pelarian Rohingya sepatutnya dibenarkan pulang ke tempat asal apabila keadaan benar-benar selamat dan secara sukarela, selain mengetahui hak-hak mereka akan dihormati.

“Saya bertemu dengan seorang wanita mangsa rogol di Myanmar dan dia memberitahu supaya menembaknya terlebih dahulu sebelum pulang ke tempat asal tanpa hak-haknya dilindungi.

“Tanggungjawab untuk melindungi semua hak dan memberi peluang kepada Rohingya untuk pulang ke negeri Rakhine terletak pada kerajaan dan pihak berkuasa di Myanmar,” tegasnya.

Sehubungan itu, Jolie, 43, yang juga selebriti Hollywood, mendesak supaya konflik keganasan di Rakhine dihentikan dan meminta pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Jolie sebelum ini pernah mengadakan pertemuan de­ngan pelarian Rohingya di Myan­mar pada Julai 2015 dan di India pada 2006.

Aktres itu juga dijangka bertemu dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dan Menteri Luar, AK Abdul Momen di Dhaka.

Pertemuan itu bakal me­nyaksikan mereka berbincang mengenai bagaimana UNHCR dapat membantu usaha Bangladesh untuk melindungi pela­rian Rohingya dalam jangka panjang.