Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Rabu

3 April 2019

2:52:05 PTG
935538

Presiden Algeria Sah Letak Jawatan

Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika semalam mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta, susulan protes besar-besaran rakyat negara itu yang mahukan muka baru sebagai pemimpin.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika semalam mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta, susulan protes besar-besaran rakyat negara itu yang mahukan muka baru sebagai pemimpin.

Bouteflika, 82, memegang tampuk pemerintahan selama lebih dua dekad, namun beliau dilihat gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin berikutan masalah kesihatan yang kronik, malah beliau juga jarang kelihatan di khalayak umum sejak mengalami strok pada 2013.

Susulan peletakan jawatan Bouteflika, perlembagaan Algeria menyatakan, speaker Parlimen akan dilantik menjadi pemangku presiden untuk tempoh 90 hari bagi melaksanakan pilihan raya presiden.

Peletakan jawatan Bouteflika yang dimaklumkan kepada Majlis Perlembagaan itu, diumumkan beberapa jam selepas pasukan tentera mendesak pengunduran presiden berkenaan, sekali gus menolak kenyataan pejabat presiden yang sebelum ini memaklumkan Bouteflika hanya akan meletak jawatan sebelum mandatnya berakhir pada hujung bulan ini.

Pengumuman peletakan jawatan Bouteflika mencetuskan kegembiraan rakyat yang keluar beramai-ramai bagi meraikan 'kemenangan' tersebut di seluruh pelusuk negara.

Protes besar-besar rakyat Algeria bermula Februari lalu, apabila Bouteflika mengumumkan hasrat meneruskan pemerintahannya bagi penggal kelima. Dalam usaha menenangkan kemarahan rakyat, Bouteflika menarik balik keputusannya untuk bertanding, namun ia gagal memuaskan hati rakyat yang tetap mahu beliau melepaskan jawatan presiden.

Rata-rata penunjuk perasaan menentang sistem politik negara yang didominasi veteran perang menuntut kemerdekaan dari Perancis sekitar tahun 1954-1962, termasuklah Bouteflika.

Pihak pembangkang pula mendakwa, jawatan Bouteflika sebagai presiden dikekalkan dengan tujuan untuk melindungi golongan elit tertentu.- Press TV