Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Khamis

2 Mei 2019

5:44:15 PTG
939270

Venezuela Gesa Masyarakat Antarabangsa Tolak Cubaan Rampasan Kuasa

Venezuela pada Khamis menggesa masyarakat antarabangsa agar menolak kekerasan dan tindakan jenayah berterusan yang boleh menyebabkan negara itu musnah susulan satu percubaan rampasan kuasa yang gagal ke atas kerajaan sah Presiden Nicolas Maduro pada Selasa.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Venezuela pada Khamis menggesa masyarakat antarabangsa agar menolak kekerasan dan tindakan jenayah berterusan yang boleh menyebabkan negara itu musnah susulan satu percubaan rampasan kuasa yang gagal ke atas kerajaan sah Presiden Nicolas Maduro pada Selasa.

Kenyataan Kedutaan Venezuela di Malaysia pada Khamis berkata dunia perlu menghentikan serta menolak percubaan ganas dan tindakan jenayah sedemikian.

“Venezuela menggesa masyarakat antarabangsa agar menolak percubaan rampasan kuasa yang ganas ini memandangkan ia mencabul keseluruhan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menjejaskan keamanan di rantau ini.

“Masyarakat antarabangsa perlu menyatakan pendirian tegas dalam mempertahan prinsip kebebasan, kedaulatan, penentuan nasib sendiri oleh rakyat dan keamanan semua negara,” menurut kenyataan itu.

Venezuela berkata ia menuntut rasa hormat terhadap kedaulatannya dan mengutuk sikap anti-demokratik pihak yang cuba merampas kehendak rakyat Venezuela, yang telah memilih semula Maduro sebagai presiden pada Mei 2018.

Kedutaan itu berkata kerajaan Venezuela telah mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara itu selain bertindak pantas dalam mengasingkan tumpuan rusuhan dengan amat berhati-hati demi memelihara hak asasi manusia dan kebebasan asas rakyat.

Menurut kedutaan itu, pada awal pagi 30 April, beberapa timbalan Dewan Perhimpunan Kebangsaan dan sekumpulan kecil anggota berpangkat rendah telah menyeru ke arah pemberontakan tentera namun telah diabaikan oleh penguatkuasaan undang-undang.

"Sejak itu, semua pihak berkuasa awam telah menyatakan sokongan terhadap kerajaan berperlembagaan Presiden Nicolas Maduro yang sah," menurut kenyataan itu.