Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

10 Mei 2019

1:51:07 PTG
940496

Saya Mahu Iran Hubungi Saya: Trump

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengatakan bahawa beliau mahu Iran menghubunginya, di tengah-tengah ketegangan di antara Washington dan Tehran akibat daripada polisi keras pentadbiran Trump terhadap Republik Islam itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengatakan bahawa beliau mahu Iran menghubunginya, di tengah-tengah ketegangan di antara Washington dan Tehran akibat daripada polisi keras pentadbiran Trump terhadap Republik Islam itu.

"Apa yang saya ingin lihat berhubung isu Iran, saya ingin melihat mereka menghubungi saya," kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih pada hari Khamis.

Akan tetapi, beliau kemudiannya berkata bahawa pentadbirannya tidak menolak sebarang kemungkinan berlakunya tindakan ketenteraan di Iran di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di antara kedua-dua negara.

Beliau selepas itu mengecam bekas Setiausaha Negara, John Kerry kerana melibatkan diri secara langsung dalam isu tersebut.

Beliau berkata Kerry harus didakwa di bawah Akta Logan kerana bercakap dengan para pegawai dari Republik Islam Iran dan mengecam dasar Trump berhubung Republik Islam secara terbuka .

"John Kerry banyak berhubung dengan mereka dan John Kerry memberitahu mereka untuk tidak menghubungi (kami).Perkara itu merupakan sebuah pencabulan terhadap Akta Logan dan secara terus terang dia harus didakwa atas tindakan itu," kata Trump.

Trump menambah bahawa "para penyokongnya tidak mahu (A.S) bertindak aktif dalam (dalam mendekati Tehran)" dan mendakwa bahawa "hanya (ahli) Demokrat yang akan melakukan perkara sedemikian (iaitu menghubungi Tehran terlebih dahulu)."

Washington pada tahun lepas menarik diri daripada perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dan menguatkuasakan semula sekatan unilateral yang telah dimansuhkan di bawah perjanjian nuklear tersebut.

Bulan lalu, Amerika Syarikat mengatakan bahawa mereka tidak akan memperbaharui pengecualian yang membenarkan lapan pelanggan terbesar Tehran membeli produk minyak Iran dalam usaha untuk membawa eksport minyak Iran ke angka sifar. Perkara itu menurut mereka akan mendatangkan tekanan maksimum kepada Iran. Pengecualian yang dikeluarkan sebelum itu tamat pada 1 Mei lepas.

Ditanya sama ada Tehran akan terus mematuhi perjanjian nuklear berikutan penarikan diri dan tindakan unilateral A.S, Takht Ravanchi berkata perjanjian itu dimansuhkan nilainya oleh Washington dan Iran akan bertindak balas sesuai dengan kepentingan nasional mereka.

"Orang Eropah memberitahu kami untuk tidak tergesa-gesa keluar daripada perjanjian nuklear dan kami telah menerima cadangan mereka. Untuk itu sepanjang tahun lepas kami telah menunggu sebarang respons yang boleh dipercayai dan praktikal (daripada pihak Eropah) dan bukan sekadar kata-kata sokongan yang baik yang tidak mencukupi (dalam rangka melindungi kepentingan Iran yang dinyatakan di dalam JCPOA)," katanya.