Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Banyak pihak beranggapan usaha dan tindakan pasangan calon Presiden serta Naib Presiden nombor dua, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno mencabar keputusan pemilihan umum (Pemilu) dengan membawa isu ke Mahkamah Konstitusi (MK) atau Mahkamah Perlembagaan adalah satu kerja sia-sia.
Penganalisis politik menyatakan tindakan tersebut dilihat ‘tidak berkesan’ untuk mengubah landskap politik Indonesia.
Malah, tindakan itu turut mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak dalam kalangan pasukan Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo-Sandiaga.
Lapor BBC Indonesia, seorang daripadanya adalah anggota Dewan Pengarah BPN, Fadli Zon yang menyifatkan tindakan tersebut sia-sia berdasarkan beberapa Pemilu sebelum ini termasuk pada 2014.
BPN juga sebelum ini memaklumkan tidak akan mencabar keputusan yang diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) ke MK, selain menasihatkan penyokong Prabowo-Sandiaga menjauhi kekerasan dan rusuhan.
Namun, diibaratkan seperti janji tinggal janji, tarikh 22 Mei menyaksikan ibu kota Jakarta kecoh dengan rusuhan ganas sehingga meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa.
Susulan itu, BPN mengumumkan akan mencabar keputusan Pemilu di MK dan dipersetujui oleh Prabowo serta Sandiaga.
BPN kemudian membentuk satu pasukan khas untuk menyiapkan semua dokumen yang diperlukan untuk mencabar keputusan Pemilu di MK.
Biarpun setakat ini MK belum ‘meluluskan mana-mana pertikaian dalam Pemilu’, Pengarah Undang-undang dan Guaman BPN, Sufmi Dasco Ahmad berpendapat, langkah yang dibuat oleh Prabowo dan Sandiaga ‘mampu’ mendorong hakim-hakim di MK membuat keputusan ‘luar biasa’.
Namun, pakar politik dari lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Luki Sandra Amalia berkata, tidak semestinya usaha yang dilakukan oleh Prabowo dan BPN dapat menyelesaikan persengketaan dalam Pemilu 2019.
Hal demikian kerana, kubu Prabowo menggunakan kata kunci ‘kuasa rakyat’ bagi meraih undian dengan mengutamakan kedaulatan rakyat berbanding hal-hal lain.
“Sentimen kuasa rakyat itu sendiri menunjukkan akan berlaku rusuhan sekiranya Prabowo dan Sandiaga kalah dan keadaan itu benar-benar berlaku pada 22 Mei lalu. Pada pandangan saya, pertikaian atau segala persengketaan yang didakwa oleh Prabowo tidak akan selesai biarpun beliau membawanya ke MK,” katanya.
Jelas Luki, cara terbaik untuk menyelesaikan perpecahan rakyat kerana Pemilu adalah menerusi proses damai pada peringkat tertinggi.
“Sudah cukup jika Prabowo bertemu dengan Joko Widodo (Jokowi) kemudian mereka bersalaman, berpelukan, selesai semua urusan,” katanya.
Tambah Luki, masyarakat Indonesia menganggap kedua-dua tokoh politik itu sebagai patron atau teladan baik yang harus dicontohi.
Malah katanya, Jokowi sendiri sudah beberapa kali berjumpa dengan wakil kubu Prabowo supaya menyelesaikan konflik Pemilu dengan segera.
Jokowi juga menyatakan keinginannya untuk bertemu dengan Prabowo, namun sehingga kini, tiada sebarang jawapan diberikan oleh tokoh politik tersebut.
Dalam pada itu, Liputan 9 melaporkan, Ketua MK, Anwar Usman berkata, prosedur bantahan Pemilu 2019 di MK terdiri daripada 11 tahap berdasarkan Peraturan MK No.5/2018.
source : Utusan
Jumaat
24 Mei 2019
8:54:44 PTG
943889
Banyak pihak beranggapan usaha dan tindakan pasangan calon Presiden serta Naib Presiden nombor dua, Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno mencabar keputusan pemilihan umum (Pemilu) dengan membawa isu ke Mahkamah Konstitusi (MK) atau Mahkamah Perlembagaan adalah satu kerja sia-sia.