Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Tasnim/ABNA24
Ahad

2 Jun 2019

3:37:56 PTG
946470

A.S Sedia Runding Dengan Iran Tanpa Sebarang Prasyarat: Mike Pompeo

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Mike Pompeo menyatakan kesanggupan Washington untuk berunding terus dengan Tehran tanpa sebarang prasyarat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Mike Pompeo menyatakan kesanggupan Washington untuk berunding terus dengan Tehran tanpa sebarang prasyarat.

Pompeo walaubagaimanapun menegaskan bahawa pentadbiran Rumah Putih akan terus mengenakan tekanan ke atas Tehran melalui pelbagai cara, lapor Washington Post.

Beliau membuat kenyataan itu pada hari Ahad Di Switzerland di dalam pertemuan ke-67 Bilderberg yang dihadiri oleh ahli politik dan tokoh korporat terkemuka. Di dalam pertemuan tahunan itu, seluruh peserta program bersetuju untuk tidak mendedahkan apa yang dibahaskan dan siapa yang membahaskannya.

Baru-baru ini, Pemimpin Revolusi Islam Iran, Syed Ali Khamenei menolak secara mutlak sebarang kemungkinan untuk negaranya berunding dengan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, rundingan di antara Tehran dan Washington tidak akan mendatangkan sebarang natijah dan akan hanya membahayakan kepentingan bangsa serta negara.

Pemimpin tersohor itu turut memberi amaran bahawa 'duduk bersama Amerika Syarikat' tidak akan menatijahkan sebuah rundingan. Akan tetapi, menurut beliau, pentadbiran di Washington akan menggunakan dialog itu untuk memperkukuhkan kempen tekanan mereka ke atas Tehran.

Dalam ucapannya, beliau menyebut bahawa selagi Amerika Syarikat tidak mengubah sikap mereka, sebarang rundingan dengan mereka umpama racun yang membahayakan.

Ayatullah Khamenei juga beberapa kali mengingatkan bangsa Iran bahawa keupayaan dan kemampuan pertahanan Republik Islam itu sama sekali tidak akan tertakluk kepada sebarang bentuk rundingan.

"Kami tidak akan pernah mengadakan tawar-menawar dan berurusan dengan musuh berhubung dengan keupayaan pertahanan negara dan sebarang perkara lain yang menyokong program pemerkasaan negara ini," kata pemimpin itu pada Oktober 2017. -Tasnim/ABNA24