Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Isnin

3 Jun 2019

3:17:37 PTG
946901

A.S Buli China Melalui Keganasan Ekonomi: Iran

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata bahawa perang dagang Amerika Syarikat ke atas China merupakan salah satu petanda kepada sikap suka membuli Washington, sambil menambah bahawa perkara itu adalah sejenis "keganasan ekonomi" yang turut diamalkan oleh Amerika Syarikat terhadap Republik Islam Iran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata bahawa perang dagang Amerika Syarikat ke atas China merupakan salah satu petanda kepada sikap suka membuli Washington, sambil menambah bahawa perkara itu adalah sejenis "keganasan ekonomi" yang turut diamalkan oleh Amerika Syarikat terhadap Republik Islam Iran.

Abbas Moussavi membuat kenyataan tersebut pada hari Isnin ketika ditanya mengenai perang dagang yang sedang berlangsung di antara Amerika Syarikat dan China.

"Amerika Syarikat mengambil pendekatan buli apabila berhadapan dengan China dan berusaha untuk menerapkan secara paksa sebuah pertimbangan politik ke atas sebuah realiti ekonomi yang sedia ada. Republik Islam Iran percaya bahawa isu ini adalah satu bentuk keganasan ekonomi dan perkara itu perlu dikecam," katanya.

Hubungan di antara China dan Amerika Syarikat terjejas teruk akibat perang dagang yang berlarutan. Ketegangan terus meningkat dengan berlayarnya kapal perang Amerika dan kapal perang berhampiran rantaian pulau di Laut China Selatan yang diklaim Beijing sebagai wilayahnya sendiri.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melancakan perang dagang ke atas China sejak tahun lalu, ketika pentadbirannya pertama kali mengenakan tarif yang luar biasa terhadap import dari negara itu. Sejak itu, dua ekonomi terbesar dunia itu saling mengenakan tarif ke atas satu sama lain ke atas perdagangan mereka yang bernilai USD 360 bilion .

Kedua-dua pihak telah mengadakan beberapa perbincangan untuk menyelesaikan isu itu. Akan tetapi, kesemuanya tidak mendatangkan hasil yang positif. Rundingan terakhir mereka berakhir pada bulan lepas tanpa sebarang kesimpulan, dengan Trump menuduh Beijing bahawa mereka telah "lari" dari komitmen yang mereka janjikan sebelumnya iaitu untuk membuat perubahan struktur amalan ekonominya.

Washington dan Beijing sehingga ini masih belum menetapkan tarikh untuk meneruskan perbincangan itu dan dalam masa yang sama presiden A.S telahpun mengumumkan kenaikan tarif dari 10 peratus kepada 25 peratus ke atas import bernilai China yang bernilai USD 200 bilion China. Sebagai respon Beijing menaikkan tarif ke atas produk A.S yang bernilai USD 60 bilion.

China sehingga ini menunjukkan tentangan yang hebat kepada tindakan A.S yang menaikkan tarif ke atas produknya sambil berkata bahawa tindakan tersebut bukan sahaja berbahaya ke atas Beijing, bahkan perkara itu turut membahayakan seluruh dunia.

Washington, bagi pihaknya, mengatakan matlamat utama strategi tarif agresif adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan di antara mereka dengan China, yang berjumlah USD 379 bilion pada tahun 2018.

Naib Menteri Perdagangan China Wang Shouwen, yang telah menjadi sebahagian daripada pasukan perundingan China, berkata pada hari Ahad bahawa Amerika Syarikat tidak boleh menggunakan tekanan untuk memaksa perjanjian perdagangan dengan China.

Di sebalik memberikan jaminan bahawa Beijing mahu perkara itu diselesaikan di atas meja rundingan, beliau dengan tegas berkata bahawa perang dagang Sino-Amerika tidak akan menyebabkan mereka berkompromi terhadap prinsip-prinsip terasnya.