Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Selasa

4 Jun 2019

7:27:52 PTG
947093

Iran Tidak Akan Tertipu Dengan Helah Politik A.S: Ayatullah Khamenei

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei berkata bahawa bangsa Iran dan pihak pemerintah negara itu tidak tertipu dengan helah politik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei berkata bahawa bangsa Iran dan pihak pemerintah negara itu tidak tertipu dengan helah politik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Ayatullah Khamenei menyampaikan ucapan beliau di hadapan orang ramai yang berkabung di Makam Imam Khomeini yang terletak di selatan Tehran pada hari Selasa. Negara Iran pada hari ini berkabung sempena memperingati hari ulang tahun kewafatan Imam Khomeini.

Imam Khomeini adalah pengasas Republik Islam di Iran setelah berjaya menjatuhkan kerajaan monarki yang disokong oleh Amerika Syarikat

Pemimpin itu turut memberi amaran tentang helah politik terkini Amerika Syarikat yang bertujuan untuk mewujudkan tanggapan bahawa mereka telah meninggalkan pendekatan subversif terhadap Republik Islam tersebut.

Ayatullah Khamenei memetik komen terbaharu Trump di Jepun, di mana beliau berkata bahawa pentadbirannya tidak mengejar perubahan rejim di Iran dan bahawa Republik Islam "mempunyai peluang untuk menjadi negara yang hebat dengan kepimpinan yang sama."

Pemimpin itu berkata, presiden Amerika Syarikat cuba mengatakan bahawa "kami bersedia menerima anda." Akan tetapi, beliau memberi amaran bahawa slogan itu hanyalah sebuah "helah politik" semata-mata.

"(Helah) ini tidak akan mampu menipu pihak pemerintah Republik Islam dan bangsa Iran. Amerika Syarikat perlu menjauhi kita. Di mana pun Amerika Syarikat menapakkan kaki mereka, sama ada perang, hasut-menghasut, eksploitasi, atau imperialisme telah menyusulinya," kata Ayatollah Khamenei.

Ayatullah Khamenei, menasihatkan Washington untuk memikirkan urusan mereka sendiri dan menjaga tepi kain mereka sendiri. Beliau mengingatkan bagaimana Amerika Syarikat pada ketika ini bergumul dengan masalah jenayah, penyalahgunaan dadah, dan kekejaman polis yang tidak dapat ditandingi di tempat lain di dunia.

"Kita sendiri tahu (dengan lebih baik) bagaimana hendak mentadbir urusan kami sendiri," kata Pemimpin. -Press TV