Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

9 Jun 2019

6:47:46 PTG
948756

Puasa Perisai Dari Api Neraka, Umat Islam Akan Bangkit Jatuhkan Zionis; Kamil Zuhairi

Ustaz Kamil Zuhairi pada Hari Raya yang lepas sempat memberikan khutbahnya di hadapan para hadirin yang hadir di Hauzah ar-Ridah di Gombak. Beliau di dalam ucapannya menekankan peri pentingnya ibadah puasa dan menyifatkan ibadah itu -dengan merujuk kepada hadis Nabi s.a.w- sebagai perisai Mu'min dari api neraka. Penggiat kebudayaan itu turut mengingatkan hadirin tentang tahapan puasa yang mana perlu diperhatikan oleh mereka dalam rangka meningkatkan kualiti ibadah tersebut dari tahun ke tahun.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ustaz Kamil Zuhairi pada Hari Raya yang lepas sempat memberikan khutbahnya di hadapan para hadirin yang hadir di Hauzah ar-Ridah di Gombak. Beliau di dalam ucapannya menekankan peri pentingnya ibadah puasa dan menyifatkan ibadah itu -dengan merujuk kepada hadis Nabi s.a.w- sebagai perisai Mu'min dari api neraka. Penggiat kebudayaan itu turut mengingatkan hadirin tentang tahapan puasa yang perlu diperhatikan oleh mereka yang berminat dalam meningkatkan kualiti ibadah tersebut dari tahun ke tahun.

Pada akhirnya, beliau turut merujuk kepada beberapa ayat daripada Surah al-Isra' yang ditafsirkan sebagai berita ghaib tentang kejatuhan Bani Israel yang angkuh di akhir zaman di tangan kaum Muslim.

Berikut adalah sebahagian daripada teks ucapan beliau;

Bismillahirrahmanirrahim.

حسبنا الله و نعم الوكيل نعم المولا و نعم النصير

Segala puji bagi Allah, Rabb sekalian alam. Dialah yang mencipta dan menegakkan seluruh alam. Hak sebagai sang pencipta mutlak pula menatijahkan kepemilikan-Nya ke atas segala urusan Rububiyyah Takwiniyyah di alam ciptaan-Nya. Dialah yang kemudiannya mengutuskan seramai seratus dua puluh empat ribu anbiya' dan dua puluh lima orang Rasul yang sebahagian namanya tertera di dalam kitab suci-Nya. Kemudian, Dia melestarikan misi para Anbiya' dan Rasul dengan mengutuskan para Imam Maksum a.s setelah kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Pengutusan tersebut adalah rencana-Nya dalam rangka memperpanjangkan urus tadbir-Nya di makam Takwini ke makam Tasyri'i. Dengan itu lengkaplah Rububiyyah mutlak-Nya ke atas alam ini.

Selawat dan salam saya panjatkan ke atas Nabi junjungan s.a.w dan Ahlulbait baginda a.s, khususnya buat Sahibul Asr wa az-Zaman, Al-Imam Al-Mahdi (moga Allah mempercepatkan kezuhurannya). Pada hari ini, kita berpesan kepada satu sama lain supaya bertaqwa kepada Allah s.w.t. Kita juga mendoakan para Mukminin, mukminat, muslimin dan muslimat khasnya para maraji' dan wali amr al-muslimin serta para mujahid yang berjuang di jalan Allah. Ya Allah percepatkanlah kezuhuran wali-Mu.

Alhamdulillah, kita telah dipanjangkan umur dan dikurniakan taufiq oleh Allah Taala sehingga dapat bertemu di Hari Raya Aidilfitri tahun 1440H -walaupun ramai yang telah mendahului kita dan pulang ke Rahmatullah dan sepastinya kita juga akan menyusuli mereka kelak-.

Alhamdulillah pada tahun ini, selain daripada ibadah puasa, ihya' Ramadhan dan malam-malam al-Qadr kita juga dikurniakan taufik untuk bertadarrus sepanjang malam bulan Ramadhan. Di atas kurnia ini marilah, kita bersyukur kepada Allah s.w.t.

Puasa itu banyak faedahnya. Seperti kata Mulla Feiz Kashani di dalam kitab Hakikat Amalan Setahun, selain daripada membantu manusia dalam peningkatan makam dari kerendahan tingkatan nafs bahimiyah/kehaiwanan ke tingkatan tashabbuh dan menyamai para Malaikat -yang mana perkara itu sendiri sudah memadai dan berbaloi-, ibadah puasa juga merupakan perisai yang ampuh kepada api neraka.

Nabi s.a.w pernah bersabda: "Puasa itu adalah perisai dari api neraka kerana puasa (secara batin) menampan dan menangkis serangan syahwat dan ghadab/kemarahan (ke atas jiwa manusia) yang mana kedua-dua perkara ini mampu menyemarakkan api neraka di dalam diri manusia di dunia ini dan (secara) zahir akan bertindak seperti perisai yang menampan dari tikaman senjata di akhirat kelak .


Adapun puasa itu tiga tingkatan;

1) Puasa awam : Sekadar menjaga perut dan kemaluan dari syahwat dan terbatallah puasa itu apabila seseorang itu melakukan salah satu dari perkara-perkara yang membatalkan puasa.

2) Puasa khusus : Memelihara pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan anggota-anggota yang lain dari dosa.

3) Puasa khusus dari yang khusus : Berpuasanya hati dari segala keresahan yang rendah dan hina, fikiran-fikiran duniawi yang tidak disertai dengan kemuliaan dan menjaga hati dari selain Allah. Puasa yang khas ul-khas ini akan terbatal apabila seorang yang berpuasa itu berfikir tentang dunia (kecuali dunia yang pada hakikatnya adalah akhirat). Akan tetapi, terbatalnya puasa di peringkat ini tidak bermaksud bahawa puasa itu tidak sah dan perlu diqadha'.

Bismillahirrahmanirrahim.

Setelah memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi junjungan s.a.w dan Ahlulbait baginda a.s dan berpesan dengan ketaqwaan Ilahi, ayuhlah, kita sekali lagi melihat pesanan Amirul mukminin a.s yang bersabda bahawa "Hari Raya adalah eid bagi mereka yang diterima puasanya dan disyukuri qiyamnya oleh Allah s.w.t. Setiap hari yang mana Allah tidak dimaksiati juga adalah Hari Raya."

Imam Redha a.s pula bersabda, dijadikan hari Fitri sebagai Eid (Hari Raya) supaya ada sebuah perhimpunan bagi kaum Muslim. Mereka pada hari tersebut berhimpun dan keluar kerana Allah Azza Wa Jalla. Mereka memuji-muji Allah di atas pemberian-Nya kepada mereka. Maka diangkat sebagai Hari Raya dan Hari Perhimpunan, Hari Fitrah dan Zakat, Hari Kesungguhan dan Permintaan (kepada Tuhan).

Di dalam khutbah kedua ini marilah kita juga memperhalusi firman Allah tentang Bani Israel di dalam surah Al Isra' -sekalipun kita membaca ayat suci ini pada setiap tahun-.

سبحان الذي أسرى بعبده

"MahaSuci Allah yang telah mengisra' yakni memperjalankan "Hamba-Nya" di malam Hari dari Masjid ul-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati sekitarnya utk memperlihatkan tanda2 kekuasaan Kami."

Di dlm ayat lainnya, Allah s.w.t berfirman; و قضينا ألى بني أسرائيل في الكتاب لتفسدنّ في الأرض مرّتين و لتعلنّ علوّا كبيرا.فاذا جاء وعد أولاهما بعثنا عليكم عبادا لنا أولي
بأس شديد فجا سوا خلال الديار و كان وعدا مفعولا 

"Telah kami wahyukan kepada Bani Israel di dalam Kitab : Sesungguhnya kamu berbuat bencana dua kali di muka bumi dan berlaku sombong dengan kesombongan yang besar.Apabila datang janji siksaan untuk yang pertama dari yang keduanya ,kami bangkitkan kepadamu hamba- hamba kami yang gagah perkasa lalu mereka itu mencarimu dalam negeri. Itulah janji yang mesti dilaksanakan."

ثمّ رددنا لكم الكرّة عليهم وامددناكم باموال و بنين وجعلناكم أكثر نفيرا.ان أحسنتم احسنتم لأنفسكم و ان أسأتم فلها 

"Kemudian kami kembalikan kekuasaan kepadamu ke atas mereka dan kami bantumu dengan harta benda dan anak pinak dan kami jadikan kamu mempunyai kaum yang ramai.Jika kamu berbuat baik,niscaya kamu berbuat baik untuk dirimu.Jika kamu berbuat jahat untuk dirimu pula."

فاذاجاء وعد الأخرة ليسوؤا وجوهكم وليدخلو المسجد كما دخلوه أوّل مرّة وليتبّروا ما علوا تتبيرا

"(tetapi kamu melakukan keburukan dan tidak berbuat kebaikan, kami memberi tempoh kepadamu sehinggalah sampai waktu pembalasan) Maka apabila datang janji siksaan yang kemudian(kami bangkitkan musuh-musuhmu)sehingga mereka menghinakan muka-mukamu dan memasuki masjid ( Baitul Maqdis )sepertimana mereka memasukinya pertama kali lalu mereka membinasakan apa yang mereka kuasai dengan kebinasaan yang hebat."

عسى ربّكم أن يرحمكم وأن عدتم عدنا و جعلنا جهنّم للكافرين حصيرا

"Mudah-mudahan Tuhanmu mengasihi kamu.Jika kamu kembali berbuat dosa kami kembali menyiksamu di dunia dan kami jadikan neraka Jahannam sebagai penjara bagi orang-orang kafir."

Al-Isra’ 4-8

Nota : Balasan pertama di atas kerosakan yang dilakukan Bani Israel adalah di tangan tentera Islam pada zaman awal kebangkitan Islam. Akan tetapi, apabila umat Islam mula menjauhkan diri dari agama mereka sendiri, Allah s.w.t sekali lagi memberi kekuatan kepada Bani Israel lalu merekapun melakukan kerosakan buat kali yang kedua dan bersikap angkuh di muka bumi-Nya. Perkara itu berterusan, sehinggalah datang balasan yang berikutnya.

Balasan ini juga akan datang dari kaum Muslim. Sepastinya setelah mereka kembali kepada Islam yang suci. Menurut sebahagian mufassir, kaum yang akan dibangkitkan bagi membalas kejahatan Bani Israel ialah kaum yang dipimpin oleh Al-Mahdi a.s dan para sahabat beliau termasuk ahli kota Qom dan orang-orang yang dihantar oleh Allah Taala sebelum zuhurnya Imam Mahdi a.s. (Tafsir Ayyashi,Tafsir Nur Tsaqalain,Biharul Anwar jilid 60). Menurut tafsir tersebut, Allah Taala menyifatkan kaum itu sebagai "hamba-hamba Kami".

Marilah kita pada hari yang mulia ini berdoa supaya Allah Taala memberi taufiq kepad kita supaya tergolong dari kalangan "hamba-hamba Allah" yang layak untuk menjadi sebahagian dari sahabat Imam Al Mahdi a.j.f atau mereka yang bangkit sebelum kezuhuran baginda. Kita pada kesempatan ini turut mengecam negara-negara yang bersekongkol dengan Syaitan Besar, Amerika Syarikat dalam agenda mereka "menjual dan menggadai" Palestin melalui pakatan jahat yang digelar sebagai "Perjanjian Abad Ini". 

Kita pada hari ini, turut mengecam kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Yaman, kaum muslim Rohingya, penduduk wilayah Kashmir, warga Arab Saudi yang dihukum bunuh dengan zalim serta seluruh golongan tertindas di seluruh dunia. Kita turut sekali lagi menekankan pendirian asasi kita dengan menegaskan bahawa Baitul Maqdis adalah ibu negara Palestin.

Terima Kasih tidak terhingga juga saya sampaikan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang menegaskan bahawa "Israel is root Cause of regional instability (Israel adalah punca kepada ketidakstabilan serantau)".

واعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا

Berpeganglah kalian semua kepada tali Allah dan janganlah sesekali kalian berpecah belah.

"Bersatu menuju pembebasan al-Quds dan golongan tertindas -kaum mustadh'afin-"

اللهم عجل لوليك الفرج

و لا حول و لا قوة إلا بالله العلي العظيم

اللهم صل على محمد و آل محمد.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1 Syawal 1440H (2019M), maaf zahir dan batin dari saya

Mohd Kamilzuhairi 

Wassalam