Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed menggesa peralihan kuasa secara demokratik di Sudan dipercepatkan semasa beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin tentera dan penunjuk perasaan, semalam.
Usaha itu dibuat selepas tindakan kekerasan tentera terhadap penunjuk perasaan menyaksikan lebih 113 orang maut dengan 52 daripadanya mati akibat terkena peluru hidup di Khartoum, Isnin lalu.
Abiy yang merupakan pemimpin utama rantau Afrika tiba di Sudan bagi menghidupkan semula rundingan antara pemimpin tentera dan pemimpin penunjuk perasaan selepas Kesatuan Afrika menggantung keanggotaan Sudan sehingga tentera mengembalikan semula pemerintahan awam.
Beliau berkata, pasukan tentera dan rakyat perlu berani bertanggungjawab dengan mengambil langkah drastik ke arah tempoh peralihan demokratik dan konsensus.
“Tentera perlu melindungi keselamatan negara dan rakyatnya manakala pergerakan politik perlu berfikir tentang masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan berasingan dengan pemimpin tentera dan penunjuk perasaan.
Pemimpin penunjuk perasaan mengalu-alukan Abiy sebagai orang tengah dalam konflik itu namun menegaskan bahawa sebarang rundingan baharu dengan tentera hanya boleh diadakan selepas beberapa syarat tertentu dipenuhi.
“Majlis Peralihan Tentera (MTC) perlu mengakui jenayah yang dilakukan mereka,” kata seorang pemimpin kumpulanpenunjuk perasaan, Alliance for Freedom and Change, Omar al-Digeir.
Katanya, semua elemen ketenteraan perlu dikosongkan daripada jalan-jalan di seluruh negara dan meminta siasatan antarabangsa berhubung pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan.
Jurucakap kementerian luar, Hassan Ahmed berkata, pemimpin tentera dilapor sedia berunding dan mencari jalan penyelesaian pada sebarang masa.
Sementara itu, sejak keganasan tentera, penduduk Khartoum yang ketakutan masih bersembunyi di rumah mengakibatkan suasana Hari Raya Aidilfitri tahun ini agak suram.
“Kami hidup dalam ketakutan kerana tembakan masih lagi kedengaran dan bimbang anak-anak kami keluar ke jalan raya yang dikawal tentera,” kata seorang penduduk.
Menurut doktor yang dekat dengan penunjuk perasaan, sebanyak 113 penunjuk perasaan terbunuh di Khartoum termasuk 40 mayat yang dikeluarkan dari Sungai Nil.
Kementerian kesihatan mendakwa, hanya 61 orang terbunuh di seluruh negara dengan 52 daripadanya terkena peluru hidup di Khartoum manakala 784 lagi cedera. – AFP
9 Jun 2019 - 19:23
News ID: 948766

Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed menggesa peralihan kuasa secara demokratik di Sudan dipercepatkan semasa beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin tentera dan penunjuk perasaan, semalam.