Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Jumaat

21 Jun 2019

6:43:41 PTG
953214

Morsi Diseksa Sebelum Meninggal?

Kematian bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi kelmarin amat menyedihkan apabila beliau didakwa meninggal dunia di dalam kandang tertuduh kalis bunyi yang direka bentuk untuk mendiamkannya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kematian bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi kelmarin amat menyedihkan apabila beliau didakwa meninggal dunia di dalam kandang tertuduh kalis bunyi yang direka bentuk untuk mendiamkannya.

Sepanjang enam tahun ditahan, tokoh tertinggi Ikhwanul Muslimin itu hanya diberi peluang tiga kali untuk berjumpa keluarganya sejak dipenjarakan pada 2013 selain dinafikan ra­watan perubatan mencukupi bagi penyakit kencing manis, darah tinggi dan hati yang menyumbang kepada kematiannya.

New York Times melaporkan, selepas empat bulan digulingkan daripada pentadbirannya dan kesnya dibica­rakan bersama 14 anggota Ikhwanul Muslimin yang lain, pemimpin itu dimasukkan di sebuah penjara yang dikawal ketat di bandar Iskandariah sebelum dipindahkan ke penjara Tora atau kala jengking.

Mendedahkan mengenai penjara Tora itu, seorang bekas warden dalam satu wawacara eksklusif memberi­tahu, mereka yang memasuki penjara itu tidak pernah keluar melainkan mati.

“Penjara itu direka khas hanya untuk tahanan politik,” katanya.

Layanan Morsi dilapor sama sekali berbeza dengan layanan diberikan terhadap bekas Presi­den Mesir, Hosni Mubarak, ditempatkan di hospital tentera yang selesa sepanjang tempoh enam tahun hukumannya.

Malah Hosni tidak pernah disabitkan dengan kesalahan membunuh kira-kira 900 orang yang mati semasa kebangkitan rakyat pada 2011.

Keadaan berbeza bagi Morsi apabila kerajaan di bawah pemerintahan Presiden Abdel Fattah al-Sisi mengarahkan ahli keluarga bekas Presiden itu mengebumikannya di bawah kawalan ketat keselamatan di tanah perkuburan dekat wilayah Sharqiya.

Dalam perkembangan berkaitan, aktivis termasuk Kumpulan Human Rights Watch (HRW) mendesak agar kematian Mohamed dilihat dari konteks sistem pengasingan dan layanan buruk terhadap tahanan politik oleh pihak berkuasa Mesir.

HRW menyifatkan be­rita kematian pemimpin itu sebagai ‘menyedihkan’ tetapi ‘sudah dijangka’ selain mendakwa kerajaan Mesir gagal untuk memberikan rawatan yang sewajarnya terhadap beliau.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan keatas kematian bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang meninggal dunia ketika dibicarakan di mahkamah, kelmarin. – AGENSI