Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

10 Julai 2019

5:38:24 PTG
959881

Peserta Tunjuk Perasaan Tuntut Pembebasan Syeikh Zakzaky

Warga Nigeria sekali lagi turun ke jalan raya di ibukota Abuja, untuk menuntut pembebasan segera pemimpin Pertubuhan Gerakan Islam Nigeria (IMN), Sheikh Ibrahim al-Zakzaky, sehari selepas pasukan keselamatan menyerang dan membunuh dua orang pengikut beliau.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Warga Nigeria sekali lagi turun ke jalan raya di ibukota Abuja, untuk menuntut pembebasan segera pemimpin Pertubuhan Gerakan Islam Nigeria (IMN), Sheikh Ibrahim al-Zakzaky, sehari selepas pasukan keselamatan menyerang dan membunuh dua orang pengikut beliau.

Pengikut Syeikh Zakzaky pada hari Rabu mengadakan perhimpunan tersebut di sebalik tindakan keras pihak berkuasa Nigeria ke atas mereka di dalam tunjuk perasaan yang diadakan pada hari semalam di bandar yang sama.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk yang menunjukkan gambar Syeikh Zakzaky dan para pengikut beliau yang terkorban di tangan pasukan keselamatan negara Afrika tersebut.

Pada hari Selasa, pihak berkuasa Nigeria membunuh dua penunjuk perasaan, yang merupakan sebahagian daripada anggota Perubuhan Gerakan Islam di Nigeria (IMN).

Pertembungan tercetus di luar bangunan Perhimpunan Kebangsaan apabila para penunjuk perasaan yang berkumpul di sana berusaha untuk memasuki kompleks parlimen dalam rangka untuk mendaftarkan tuntutan pembebasan Syeikh Zakzaky. Menurut laporan, empat puluh orang juga ditahan sepanjang perhimpunan tersebut.

Sheikh Zakzaky, yang berusia pertengahan tahun enam puluhan, kehilangan penglihatan mata kirinya akibat daripada serangan tahun 2015 oleh pasukan keselamatan negara itu. Serangan itu turut menyebabkan lebih daripada 300 anggota IMN termasuk tiga anaknya terkorban. Isteri beliau juga mengalami luka serius akibat daripada keganasan pihak keselamatan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Islam (IHRC), yang berpusat di London, pada awal minggu ini mengatakan bahawa keadaan kesihatan Syeikh Zakzaky kini semakin merosot, sejak beliau dilaporkan diracun di penjara.

Anak lelaki Syeikh, Mohammad, pada hari Sabtu memberitahu Press TV bahawa bapanya memerlukan rawatan perubatan segera kerana kandungan "plumbum dan kadmium yang tinggi serta berbahaya telah ditemukan dalam darah beliau."

Dia juga mendakwa bahawa pihak berkuasa berhasrat untuk membunuh bapanya kerana keengganan mereka untuk mengambil sebarang langkah menangani isu terbabit.

Pada tahun2016, mahkamah tinggi persekutuan Nigeria turut mengarahkan pembebasan tanpa syarat Syeikh Zakzaky dari penjara. Akan tetapi, pihak kerajaan setakat ini enggan membebaskannya.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, pasukan Nigeria telah membunuh sekurang-kurangnya 400 orang anggota IMN sejak empat tahun lalu. -PRESS TV