Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Khamis

11 Julai 2019

2:25:08 PTG
960127

Iran Tolak Dakwaan A.S Berhubung Cubaan Rampas Kapal Tangki Britain

Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran (IRGC) telah menolak dakwaan yang dilontarkan oleh pegawai Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa pasukan tentera lautnya cuba menghentikan kapal tangki minyak milik British di Teluk Parsi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran (IRGC) telah menolak dakwaan yang dilontarkan oleh pegawai Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa pasukan tentera lautnya cuba menghentikan kapal tangki minyak milik British di Teluk Parsi.

Pada awal Khamis, dua pegawai Amerika Syarikat yang bercakap kepada Reuters, mendakwa bahawa lima buah bot yang dipercayai milik IRGC telah menghampiri kapal tangki British, Heritage di pintu masuk utara Selat Hormuz dan sebelum mengarahkanny untuk berhenti.

Bot-bot Iran meninggalkan kawasan itu selepas kapal Tentera Laut Diraja Britain, HMS Montrose yang telah mengawal kapal Heritage "megarahkan senjatanya ke arah bot (IRGC) dan memberi amaran kepada mereka melalui radio," kata salah satu daripada sumber itu.

Pegawai yang lain juga mendakwa bahawa insiden itu merupakan tindakan Tehran untuk "mengganggu laluan tersebut."

IRGC walau bagaimanapun menolak dakwaan para pegawai Amerika Syarikat itu sambil menekankan bahawa kapal-kapal Iran pada hari itu telah menjalankan tugasan rutin mereka semata-mata tanpa berhadapan dengan mana-mana insiden.

"Rondaan oleh kapal-kpal Tentera Laut IRGC telah dijalankan di Teluk Parsi berdasarkan prosedur dan misi semasa yang diberikan kepada mereka dengan penuh kewaspadaan, ketepatan dan ketegasan," kata Jabatan Perhubungan Awam Tentera Laut Zon Kelima IRGC dalam satu kenyataan.

"Sepanjang tempoh 24 jam yang lepas, tidak ada sebarang pertembungan (di antara aset kami) dengan kapal asing, termasuk kapal-kapal yang dioperasikan oleh Britain," tambahnya.

Pernyataan itu selanjutnya menyatakan bahawa pasukan zon kelima Tentera Laut IRGC mempunyai kemampuan untuk bertindak dengan "tegas dan cepat" jika terdapat sebarang arahan untuk merampas mana-mana kapal yang beroperasi di kawasan mereka.

Britain juga pada hari Khamis mendakwa bahawa tiga buah kapal Iran cuba menghalang laluan kapal tangki tersebut. Akan tetapi, menurut mereka, kesemua kapal-kapal Iran akhirnya berpatah balik dari kawasan insiden.

"HMS Montrose terpaksa meletakkan dirinya di antara kapal Iran dan kapal Heritage dan mengeluarkan amaran lisan kepada kapal Iran yang kemudiannya berpaling (meninggalkan kawasan insiden)," kata seorang wakil kerajaan British.

Zarif: Dakwaan Tidak Memiliki Sebarang Nilai

Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif juga mengeluarkan respon terhadap tuduhan itu dengan mengatakan bahawa tuduhan itu hanya (direka) untuk mewujudkan suasana yang tegang (di rantau itu).

Mereka yang membuat dakwaan tersebut cuba "menutupi titik lemah mereka," tambahnya. "Nampaknya kapal tangki Britain telahpun berlalu (meninggalkan kawasan itu). Apa yang reka sendiri dan dakwaan yang dilontarkan sekadar bertujuan untuk mewujudkan ketegangan. Dakwaan ini sama sekali tidak mempunyai sebarang nilai."

Dakwaan itu dibuat dua minggu selepas pasukan marin British menyita kapal tangki minyak Iran di Selat Gibraltar dengan dalih bahawa kapal itu disyaki cuba membawa minyak mentah ke Syria yang melanggar sanksi EU terhadap negara Arab tersebut.

Laporan tersebut bagaimanapun turut menyatakan bahawa rampasan itu dibuat di atas permintaan Amerika Syarikat.

Republik Islam mengutuk penyitaan haram itu dan menganggapnya sebagai tindakan "pelanunan maritim" dan memanggil duta besar Britain sebanyak tiga kali untuk menyampaikan protes Tehran ke atas insiden rampasan itu. -PRESS TV