Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Khamis

11 Julai 2019

2:30:56 PTG
960129

Polis Gunakan Peluru Hidup Surai Tunjuk Perasaan Pro Zakzaky Di Nigeria

Pihak Polis Nigeria didakwa telah menembak peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di ibu kota Abuja pada hari Khamis untuk menuntut pembebasan Sheikh Ibrahim al-Zakzaky yang dilaporkan sangat memerlukan rawatan perubatan segera.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak Polis Nigeria didakwa telah menembak peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di ibu kota Abuja pada hari Khamis untuk menuntut pembebasan Sheikh Ibrahim al-Zakzaky yang dilaporkan sangat memerlukan rawatan perubatan segera.

Para saksi melihat polis melepaskan tembakan ke arah ratusan penunjuk perasaan yang telah berkumpul di luar bangunan kerajaan untuk menuntut pembebasan pemimpin Gerakan Islam Nigeria (IMN), Sheikh Zakzaky. Polis juga dilaporkan telah menahan sekurang-kurangnya 12 orang yang menyertai perhimpunan besar-besaran tersebut.

Para penunjuk perasaan juga dilaporkan telah melemparkan batu ketika pihak polis cuba menyuraikan mereka. Mereka membawa sepanduk yang menunjukkan gambar Sheikh Zakzaky serta pengikutnya yang terkorban di tangan tentera kerajaan Nigeria.

Pada hari Selasa, pasukan keselamatan dilaporkan membunuh dua orang penunjuk perasaan. Kedua-dua individu itu adalah anggota kepada Pertubuhan Gerakan Islam di Nigeria (IMN) yang diketuai oleh Sheikh Zakzaky.

Pertembungan sengit meletus di luar Bangunan Perhimpunan Kebangsaan ketika para penunjuk perasaan berkumpul di sana dan kemudian cuba memasuki bangunan tersebut untuk mendaftarkan tuntutan mereka. Mereka menuntut pembebasan Sheikh Zakzaky. Sekurang-kurangnya 40 orang telah ditahan semasa perhimpunan itu.

Para penyokong Sheikh Zakzaky juga mengadakan perhimpunan pada hari Rabu dalam rangka membantah tindakan keras terhadap mereka.

Sheikh Zakzaky kehilangan penglihatan kiri beliau dalam serangan tahun 2015 oleh pasukan keselamatan yang menyebabkan lebih daripada 300 pengikut dan tiga orang anaknya terkorban. Isterinya turut mengalami kecederaan serius rentetan daripada tindakan keganasan pihak berkuasa.

Pada tahun 2016, mahkamah tinggi persekutuan Nigeria telah mengarahkan pembebasan tanpa syarat Sheikh Zakzaky dari penjara selepas sebuah siri perbicaraan. Akan tetapi, pihak kerajaan setakat ini enggan mematuhi perintah mahkamah tersebut dan membebaskan beliau.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, pasukan Nigeria telah membunuh sekurang-kurangnya 400 anggota IMN sejak empat tahun lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Islam (IHRC), yang berpusat di London, pada awal minggu turut berkata bahawa keadaan kesihatan ulama semakin merosot sejak ia dilaporkan diracuni di penjara kerajaan.

Anak lelaki Syeikh, Mohammad, pada hari Sabtu memberitahu Press TV bahawa bapanya memerlukan rawatan perubatan segera kerana kandungan "plumbum dan kadmium yang tinggi serta berbahaya telah ditemukan dalam darah beliau."

Dia juga mendakwa bahawa pihak berkuasa berhasrat untuk membunuh bapanya kerana keengganan mereka untuk mengambil sebarang langkah menangani isu terbabit. - PRESS TV