Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Isnin

15 Julai 2019

7:06:34 PTG
961524

Trump Lakukan Vandalisme Diplomatik

Bekas Duta Britain ke Amerika Syarikat (AS) percaya keputusan Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 kerana mahu menyakitkan hati pendahulunya, Barack Obama.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bekas Duta Britain ke Amerika Syarikat (AS) percaya keputusan Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 kerana mahu menyakitkan hati pendahulunya, Barack Obama.

Perkara itu didedahkan dokumen yang sekali lagi diterbitkan akhbar Daily Mail semalam.

“Pentadbiran Trump melakukan tindakan vandalisme diplomatik seolah-olah atas alasan ideologi dan personaliti kerana ia adalah perjanjian Obama,” menurut Kim Darroch dalam kabel diplomatik pada Mei 2018.

Menurut akhbar itu, memo itu ditulis Darroch selepas Boris Johnson yang memegang jawatan Setiausaha Luar Britain pada 2018 merayu kepada AS untuk terus kekal dalam perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) tersebut.

Diplomat itu juga mendedahkan tentang perpecahan dalam kalangan penasihat Trump selain Rumah Putih tidak mempunyai strategi tentang langkah selepas keluar daripada perjanjian tersebut.

Minggu lalu, kebocoran kabel diplomatik yang mengkritik pentadbiran jutawan hartanah tersebut telah mendorong Darroch meletak jawatan selepas Trump menyatakan beliau enggan lagi mahu berurusan dengan beliau.

Susulan kebocoran kabel diplomatik itu, Penolong Pesuruhjaya Scotland Yard, Neil Basu memaklumkan polis telah melancarkan siasatan dan akan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pendedahan memo diplomatik terbaharu itu masih berlaku walaupun telah diberikan amaran oleh pihak berkuasa.

Polis Metropolitan dalam satu kenyataan menegaskan mana-mana wartawan yang mendedahkan butiran komunikasi bekas duta itu boleh didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi. - Agensi