Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Ahad

28 Julai 2019

2:47:20 PTG
965448

Pegawai Bertudung Mahu Saman Tentera AS

Seorang pegawai wanita berpusat di Fort Carson berhasrat untuk menyaman Tentera Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan diskriminasi dan gangguan, tidak lama selepas dia mula memakai tudung.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang pegawai wanita berpusat di Fort Carson berhasrat untuk menyaman Tentera Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan diskriminasi dan gangguan, tidak lama selepas dia mula memakai tudung.

Cesilia Valdovinos yang telah berkhidmat selama tujuh tahun dalam tentera dan pernah dikerah ke Afghanistan, memeluk Islam pada 2016.

Valdovinos mendakwa, sejak mula menutup aurat dia menerima pelbagai bentuk gangguan termasuk diejek dengan pelbagai nama panggilan dan diturunkan pangkat.

Malah, wanita berusia 26 tahun itu kerap menjalani pemeriksaan badan dan dilihat sebagai ancaman kepada rakan setugasnya yang lain.

Dalam satu insiden pada 6 Mac lalu, penyelianya, Sarjan Mejar Kerstin Montoya telah memaksa Valdovinos membuka tudung semasa latihan pencegahan bunuh diri.

“Saya mendapat layanan yang teruk daripada rakan setugas. Mereka menggelar saya pengganas, ISIS dan ninja sejak mula memakai tudung.

“Namun pegawai atasan seolah-olah menutup mata dan tiada tindakan setiap kali laporan dibuat. Hanya disebabkan saya orang Islam, tidak bermakna saya bukan rakyat Amerika,” katanya yang dilahirkan di AS.

Sementara itu, peguamnya Mikey Weinstein berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tuntutan Mahkamah Persekutuan akan difailkan tidak lama lagi.

Weinsten berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk membuat aduan ke Suruhanjaya Hak Sivil AS.

“Layanan buruk dan prejudis terhadap pegawai beragama Islam mesti dihentikan. Anak guam saya adalah orang Amerika, jadi dia mesti mendapat layanan yang sama-rata,” katanya.

Pada 2017, Tentera AS mengeluarkan satu peraturan baharu yang memberikan kelonggaran kepada anggota tentera lelaki berjambang dan berserban manakala tentera wanita pula berhijab.

Peraturan itu dinyatakan oleh Setiausaha Ketenteraan, Eric Fanning bertujuan membolehkan anggota melakukan tuntutan agama masing-masing di peringkat briged.

Tentera AS mula melaksanakan peraturan itu tahun lalu. - Agensi