Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

31 Julai 2019

5:21:29 PTG
966096

Trump Bakal Lanjutkan Pengecualian Sekatan Berkaitan Program Nuklear Iran

Amerika Syarikat dilaporkan akan melanjutkan tempoh pengecualian sekatan yang sehingga ini membolehkan para penandatangan lain perjanjian nuklear tahun 2015 untuk meneruskan kerjasama nuklear mereka dengan Tehran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat dilaporkan akan melanjutkan tempoh pengecualian sekatan yang sehingga ini membolehkan para penandatangan lain perjanjian nuklear tahun 2015 untuk meneruskan kerjasama nuklear mereka dengan Tehran.

Perkembangan yang terkini itu dilihat sebagai satu tamparan hebat kumpulan ultra konservatif (Hawkish) di Rumah Putih yang selama ini berusaha untuk mengenakan tekanan maksimum ke atas Republik Islam Iran.

Dengan merujuk kepada kenyataan enam pegawai A.S yang tidak dinamakan, The Washington Post pada hari Selasa melaporkan bahawa Presiden A.S, Donald Trump dalam sebuah mesyuarat yang berlangsung pada minggu lalu memihak kepada saranan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin yang menyokong tindakan memperbaharui pengecualian yang ditentang oleh kumpulan 'Hawkish' di Rumah Putih.

Kali terakhir Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan arahan pengecualian sekatan berkaitan adalah pada bulan Mei lepas dan pembaharuan terkini pula dijangka akan memberi lima projek nuklear Iran imuniti selama 90 hari lagi daripada sekatan.

Sumber-sumber lanjut berkata bahawa Mnuchin berjaya menangkis bantahan Setiausaha Negara A.S, Mike Pompeo dan Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton - dua individu dari kem 'Hawkish' yang memperjuangkan tekanan ekonomi maksimum dan tindakan tegas terhadap Iran. -PRESS TV