Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

11 Ogos 2019

6:14:42 PTG
968245

Serangan Ke Atas Masjid Di Norway Mungkin Tindakan Keganasan

Polis Norway tidak menolak kemungkinan bahawa kes insiden tembakan di sebuah masjid di Oslo sebagai sebuah tindakan keganasan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Norway tidak menolak kemungkinan bahawa kes insiden tembakan di sebuah masjid di Oslo sebagai sebuah tindakan keganasan.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada hari Ahad di Pusat Islam al-Noor yang terletak di ibu negara Norway. Menurut pihak polis, suspek mungkin juga telah membunuh saudaranya sebelum melancarkan serangan ke atas pusat Islam itu.

Seorang wanita ditemui mati di alamat yang terkait dengan penyerang, jelas pembantu ketua polis, Rune Skjold ketika membentangkan rincian insiden kepada pihak media.

Suspek juga telah mencederakan seorang individu di dalam serangan tersebut.

Sebelum itu, pihak polis berkata bahawa seorang "pemuda kulit putih" telah ditahan. Mereka juga menjelaskan bahawa suspek telah diatasi dan ditahan oleh ahli kariah masjid sendiri.

Pihak polis juga percaya bahawa suspek bertindak secara bersendirian.

"Dia berusia sekitar 20-an, warga Norway dari kawasan setempat," beritahu Skjold kepada media.

Masjid itu juga dilaporkan telah meningkatkan langkah keselamatan mereka pada awal tahun ini berikutan serangan ke atas dua buah masjid di New Zealand yang mengorbankan 50 orang. Serangan itu telah dilancarkan oleh seorang lelaki yang disyaki sebagai pelampau kulit putih.

Pada tahun 2011, seorang penganut fahaman neo-Nazi yang juga anti-Islam, Anders Behring Breivik secara kejam telah membunuh 77 orang yang tidak bersalah di sebuah kem remaja. Jenayah itu adalah yang terbesar dilaporkan berlaku di negara itu sejak tamatnya perang dunia kedua. -Euronews