Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Isnin

19 Ogos 2019

5:50:59 PTG
970053

Iran Tidak Berminat Dengan Rundingan Baru Bersama A.S

Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif menegaskan bahawa negaranya tidak berminat untuk mengadakan rundingan nuklear baharu dengan Amerika Syarikat (A.S) selepas Washington menarik diri daripada kesepakatan tahun 2015 yang dipersetujui di antara kumpulan P5+1 dan Iran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif menegaskan bahawa negaranya tidak berminat untuk mengadakan rundingan nuklear baharu dengan Amerika Syarikat (A.S) selepas Washington menarik diri daripada kesepakatan tahun 2015 yang dipersetujui di antara kumpulan P5+1 dan Iran.

"Iran tidak berminat untuk berunding dengan A.S dalam rangka mencapai perjanjian nuklear yang baharu," kata ketua diplomat Iran. "Kami telah berunding secara terperinci dengan A.S dan bukanlah kami yang akhirnya meninggalkan rundingan (selepas kesepakatan tercapai)," tambahnya.

Iran dan lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB - Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Rusia dan China - dan Jerman telah menandatangani perjanjian nuklear yang secara rasminya dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 14 Julai 2015 dan mula melaksanakannya pada 16 Januari 2016.

Di bawah JCPOA, Iran berusaha untuk menghadkan program nuklearnya dan sebagai pertukaran, A.S dan sekutunya setuju untuk menamatkan sekatan berkaitan nuklear ke atas Tehran. A.S kemudiannya meninggalkan perjanjian tersebut di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Zarif menambah bahawa jika Iran dan A.S perlukan sebarang perantaraan, perkara itu perlu memfokuskan usaha membawa kembali Washington untuk menepati komitmen mereka terhadap perjanjian nuklear tahun 2015.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Mohammad Javad di Finland selepas mengadakan pertemuan dengan rakan Menteri Hal Ehwal Luar Finland, Pekka Haavisto, lapor Press TV 

Dalam masa yang sama, Haavisto berkata, negara-negara Eropah masih berusaha untuk menyelamatkan perjanjian itu yang juga dikenali dengan singkatan JCPOA. - PRESS TV