Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Selasa

29 Oktober 2019

4:36:29 PTG
984958

Dua Cedera Penyerang Berhaluan Kanan Tembak Masjid Di Perancis

Polis Perancis menangkap seorang lelaki disyaki melepaskan tembakan ke arah masjid di Bayonne di barat daya negara itu semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Perancis menangkap seorang lelaki disyaki melepaskan tembakan ke arah masjid di Bayonne di barat daya negara itu semalam.

Dua warga tua berusia 74 dan 78 tahun, cedera serius dalam kes berkenaan yang berlaku pada jam 3.20 petang semalam waktu tempatan ketika cuba menghalang penyerang daripada membakar masjid berkenaan, kata polis.

Lelaki itu ditangkap berhampiran rumahnya selepas kejadian yang turut membabitkan letupan kecil, daripada tin petrol yang dibakar berhampiran rumah ibadat umat Islam itu.

Suspek berusia 84 tahun dan mempunyai kaitan dengan puak berhaluan kanan, kata sumber polis.

Penembak juga membakar sebuah kereta ketika melarikan diri dari lokasi.

“Suspek berjaya ditangkap polis. Saya bersimpati kepada mangsa dan keluarga,” kata Menteri Dalam Negeri,

Christophe Castaner, menerusi akaun Twitter.

Sumber yang biasa dengan kejadian itu berkata, suspek pernah menjadi calon bagi parti National Rally pimpinan Marine Le Pen pada 2015.

Le Pen mengutuk serangan ke atas masjid itu.

“Serangan itu bertentangan sama sekali dengan nilai pergerakan kami,” katanya.

Polis berkata, pistol ditemui dalam kereta suspek. — Agensi