Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

10 November 2019

6:01:58 PTG
987079

Iran Masih Belum Keputusan Untuk Tinggalkan Perjanjian Senjata Nuklear

Iran berkata bahawa mereka masih belum mengambil keputusan untuk meninggalkan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) ketika negara itu dilihat menggantung beberapa komitmen mereka yang tertera di bawah perjanjian nuklear tahun 2015.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Iran berkata bahawa mereka masih belum mengambil keputusan untuk meninggalkan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) ketika negara itu dilihat menggantung beberapa komitmen mereka yang tertera di bawah perjanjian nuklear tahun 2015.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi pada hari Ahad berkata tindakan Iran menggantung komitmen mereka secara bertahap di bawah perjanjian tersebut dibuat sebagai respon kepada tindakan Amerika Syarikat yang sebelum ini meninggalkan perjanjian itu.

Beliau juga menegaskan bahawa Tehran telah mengambil langka-langkah tersebut secara teliti.

"Republik Islam Iran masih belum mengambil sebarang keputusan untuk meninggalkan terus NPT," kata beliau kepada para wartawan di dalam sidang media mingguan kementerian tersebut di Tehran.

"Iran telah menilai beberapa senario dan akan menguatkuasakan langkah yang dikehendakinya berdasarkan keperluan masa serta tindakan pihak berlawanan," tambah beliau.

Iran menandatangani NPT -struktur perjanjian yang direka untuk mencegah penyebaran senjata nuklear dan teknologi ketenteraan (lain)- pada Julai 1968 dan mula menguatkuasakannya pada tahun 1970.

Mereka juga menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dengan beberapa kuasa besar dunia pada tahun 2015 dan telah menghormati seluruh komitmennya berdasarkan laporan Agensi Tenaga Nuklear (IAEA) sebelum ini.

Akan tetapi, Iran mula mengurangkan komitmennya kepada perjanjian tersebut sebagai respon kepada tindakan A.S yang meninggalkan perjanjian itu pada tahun 2018. Iran juga kecewa dengan kegagalan Eropah untuk melindungi kepentingan Tehran daripada Washington.

Tehran juga menegaskan bahawa respon-respon itu boleh ditamatkan sejurus selepas Eropah menemui cara praktikal untuk melindungi kepentingan ekonomi Iran daripada sekatan.

Mousavi juga menolak dakwaan pegawai rejim Israel yang mengatakan bahawa Iran memiliki gudang nuklear di Turquzabad. Beliau dalam masa yang sama juga menolak laporan IAEA yang mengatakan bahawa mereka telah menemui kesan radioaktif di sana.

Menurut beliau, dakwaan tersebut dibuat oleh sesetengah pihak untuk membuka semula fail yang dipanggil sebagai "kemungkinan dimensi ketenteraan- PMD" di dalam program nuklear Iran.

"Apa yang dikenali sebagai PMD telahpun ditutup sebelum ini dan Zionis berusaha untuk membukanya semula," kata beliau yang turut mengutuk tindakan itu.

"Membuka fail yang telah ditutup sama sekali tidak selari dengan undang-undang dan sistem kawalan antarabangsa. Ia adalah sebuah perangkap yang direka oleh Zionis dan kami berharap IAEA akan menunjukkan ketegasan di dalam isu ini," tambahnya. -Agensi