Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

10 November 2019

6:22:06 PTG
987080

Iran Jumpa Lapangan Minyak Dengan Kapasiti 53 Bilion Tong Minyak

Presiden Republik Islam Iran, Hassan Rouhani berkata bahawa negaranya telah menemui sebuah lapangan minyak baharu di wilayah Khuzestan yang memiliki kapasiti sebanyak 53 bilion tong minyak mentah.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Republik Islam Iran, Hassan Rouhani berkata bahawa negaranya telah menemui sebuah lapangan minyak baharu di wilayah Khuzestan yang memiliki kapasiti sebanyak 53 bilion tong minyak mentah.

Rouhani membuat kenyataan itu di hadapan warga Yazd pada hari Ahad ketika melawat wilayah sentral Iran tersebut.

"Ia merupakan lapangan minyak besar yang bermula dari Bostan dan berterusan hingga Omidiyeh. Keluasannya adalah 2,400 kilometer persegi dan kedalamnya pula dicatat sebagai 80 meter," kata beliau.

"Pada hari ini, kita mengumumkan kepada A.S bahawa negara kita adalah sebuah negara kaya dan di sebalik permusuhan serta sekatan kejam kalian, para pekerja dan jurutera industri minyak Iran telah berjaya menemui lapangan minyak luas ini," tambahnya lagi.

A.S telah memperkenalkan sekatan paling tegas mereka ke atas Tehran sejak Washington menarik diri daripada perjanjian JCPOA yang ditandatangani mereka pada tahun 2015.

Rouhani juga berkata, "Perkara pertama yang ingin saya tegaskan di sini ialah kita (warga Iran) telah secara bersama-sama menghadapi tekanan yang dibawakan oleh kuasa asing ke atas kita sepanjang tahun lepas di mana bangsa kita telah melalui waktu-waktu yang sukar."

"Sudah setahun setengah sejak Presiden Donald Trump menarik diri A.S daripada perjanjian nuklear dengan Iran dan melancarkan polisi tekanan maksimum (ke atas bangsa Iran)," kata beliau.

Trump sehingga ini telah menambah pelbagai bentuk sekatan dan meningkatkan retoriknya ke atas Tehran dengan alasan bahawa beliau ingin membuat rundingan semula dengan Iran berhubung program nuklear negara itu.

Akan tetapi, tekanan maksimum A.S setakat ini gagal untuk memaksa Iran untuk berunding semula ke atas perjanjian yang baharu sahaja ditandangani di bawah pentadbiran Presiden Obama. -Agensi