Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

8 Disember 2019

6:31:01 PTG
992318

PM Perancis Tekad Dengan Pembaharuan Sistem Pencen Di Sebalik Protes

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe mengulangi tekadnya untuk meneruskan pelaksanaan reformasi pencen yang dirancang kerajaannya di sebalik tentangan keras daripada kesatuan pekerja di negara Eropah itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe mengulangi tekadnya untuk meneruskan pelaksanaan reformasi pencen yang dirancang kerajaannya di sebalik tentangan keras daripada kesatuan pekerja di negara Eropah itu.

Nada tegas itu berkumandang ketika sistem pengangkutan awam Perancis lumpuh untuk hari yang keempat secara berturut-turut apabila para pekerja kesatuan yang menggerakkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota Paris dan di seluruh negara bertindak untuk melancarkan protes mereka.

"Saya bertekad untuk meneruskan dengan (sistem) pencen baharu sehingga perkara itu selesai dan saya akan melakukan perkara ini dengan penuh hormat dan saya akan menangani kebimbangan orang ramai mengenainya," kata Philippe kepada akhbar mingguan Perancis, Le Journal du Dimanche.

Philippe dijangka akan membentangkan rancangannya secara terperinci pada hari Rabu nanti.

Kesatuan pekerja pula berkata bahawa sistem baharu tersebut akan memperkenalkan "sistem mata" untuk persaraan yang akan memberi impak besar kepada sektor awam serta swasta dan akan memaksa mereka untuk bekerja jauh melebihi usia persaraan rasmi iaitu 62 tahun.

Philippe Martinez, ketua persatuan Gabungan Umum Buruh (CGT) pula dengan tegas berkata bahawa kesatuannya akan meneruskan protes mereka sehingga kerajaan membatalkan rancangan itu.

"Kami akan teruskan (protes) sehingga rancangan itu ditarik balik," kata Martinez kepada media. "Marilah (Philippe) dengarkan kemarahan rakyat. Biarkan dia berkata bahawa hanya pandir sahaja yang tidak pernah mengubah fikiran mereka. Biarkan dia kembali ke titik mula. Tidak sebarang bentuk kebaikan dalam rancangan pembaharuan kerajaan. "

Bantahan yang bermula pada hari Khamis, dijangka berterusan pada hari-hari yang akan datang. -Press TV