Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

11 Disember 2019

5:07:52 PTG
993151

Suu Kyi Pertahan Tindakan Myanmar Dalam Kes Rohingya

Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dipandang Barat sebagai seorang pejuang demokrasi mempertahankan kekejaman negaranya terhadap etnik Rohingya Muslim di mahkamah tertinggi PBB di Den Haag.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dipandang Barat sebagai seorang pejuang demokrasi mempertahankan kekejaman negaranya terhadap etnik Rohingya Muslim di mahkamah tertinggi PBB di Den Haag.

Pemenang Nobel Keamanan itu bercakap selama kira-kira 30 minit di hadapan sidang pada hari Rabu untuk mempertahankan tindakan tentera Myanmar yang sebelum ini pernah mengenakan tahanan dalam rumah ke atas dirinya sendiri.

Suu Kyi mendakwa bahawa tindakan tentera Myanmar -yang didakwa telah melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dalam tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Gambia- merupakan sebuah "operasi pemberishan" sebagai respon terhadap serangan militan ke atas balai polis di Rakhine.

Suu Kyi kemudian menuduh Gambia yang bertindak bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) telah membuat tuduhan yang "tidak lengkap dan mengelirukan". Suu Kyi berasaskan dakwaan itu berkata kes itu tidak seharusnya dibicarakan di Den Haag.

Sekitar 740,000 orang Rohingya telah melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh selepas tentera Myanmar pada tahun 2017 melancarkan kempen kekerasan yang disifatkan oleh penyiasat PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Pada hari Selasa, Suu Kyi mendengarkan penjelasan peguam-peguam mangsa Rohingya, termasuk seorang ibu yang anak lelaki kecilnya dipukul sehingga mati dan seorang wanita hamil lapan bulan yang diseksa sebelum diperkosa berulang kali.

Dildar Begum, seorang janda Rohingya dari kampung Tula Toli di Myanmar, menangis sambil menggambarkan pembunuhan di kampungnya. Menurutnya jenayah itu telah dilakukan oleh tentera Myanmar dan pihak militia tempatan.

Suu Kyi berkata bahawa pasukan tentera negaranya mungkin telah bertindak secara berlebihan sehingga mengakibatkan kematian orang awam, akan tetapi, menurutnya perbuatan itu tidak sepatutnya digambarkan sebagai pembunuhan beramai-ramai.

"Apakah mungkin terdapat hasrat untuk melancarkan pembunuhan beramai-ramai di negara di mana mereka secara aktif menyiasat, mendakwa dan menghukum para anggota tentera dan pegawai yang dituduh telah melakukan salah laku?" dakwanya.

Tahun lepas, tentera Myanmar mengumumkan bahawa tujuh anggota tenteranya yang terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai 10 orang lelaki dewasa serta kanak-kanak Rohingya di kampung Inn Din pada September 2017 telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan kerja keras di kawasan terpencil.

Kumpulan itu merupakan satu-satunya kumpulan anggota tentera telah dihukum sepanjang operasi tahun 2017. Mereka walaubagaimanapun telah diberi pelepasan awal yang mana tempoh penjara mereka tidak melebihi setahunpun.

Salah seorang tentera mengesahkan kepada Reuters bahawa dia telah dibebaskan. Akan tetapi, ia enggan mengulas lanjut, dengan berkata bahawa "Kami telah diberitahu untuk mendiamkan diri."

Dua rakan subahatnya juga memberitahu agensi berita bahawa pembebasan itu dibuat pada bulan November -iaitu kurang daripada setahun berbanding tempoh penjara 10 tahun yang telah diputuskan mahkamah-.

Keputusan akhir mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

Sebuah misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini mendapati bahawa "jenayah paling berat di bawah undang-undang antarabangsa" telah dilakukan di Myanmar dan menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) baru-baru ini meluluskan penyiasatan penuh yang sudah lama ditunggu berkaitan dengan jenayah kemanusiaan ke atas minoriti Rohingya. -Press TV