Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

11 Disember 2019

5:29:31 PTG
993154

EU Bakal Bincang Untuk Iktiraf Negara Palestin

Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) dijangka akan berbincang pada bulan depan berhubung dengan persoalan sama ada blok 28 negara itu perlu mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdaulat berikutan tindakan Amerika Syarikat yang berusaha membawa dasar pro-pendudukan sekaligus menyuramkan prospek solusi berasaskan formula dua negara yang bertujuan untuk menamatkan konflik Palestin-Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) dijangka akan berbincang pada bulan depan berhubung dengan persoalan sama ada blok 28 negara itu perlu mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdaulat berikutan tindakan Amerika Syarikat yang berusaha membawa dasar pro-pendudukan sekaligus menyuramkan prospek solusi berasaskan formula dua negara yang bertujuan untuk menamatkan konflik Palestin-Israel.

Ireland dan Luxembourg adalah antara negara anggota EU yang berusaha untuk membawa isu tersebut di mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar badan itu di Brussels pada 20 Januari 2020 akan datang.

Ketua Isu Luar Negera Kesatuan Eropah, Josep Borrell berkata bahawa para diplomat kanan akan membahaskan persoalan sama ada blok tersebut harus mengubah polisi Timur Tengahnya setelah keputusan Washington "tentang legaliti koloni [Israel] dan perkara itu telah membimbangkan sesetengah pihak yang beranggapan bahawa A.S akan terus mengambil pendekatan yang sama mengenai perkara ini."

Beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo bulan lalu yang berkata bahawa penubuhan penempatan di kawasan Tebing Barat yang dijajahi rejim "tidak sepatutnya dianggap tidak selari dengan undang-undang antarabangsa."

Beliau juga menyatakan bahawa isu pengiktirafan Palestin adalah antara isu yang sangat sensitif di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah.

Pada hari Ahad lalu, Menteri Luar Luxembourg, Jean Asselborn telah menghantar surat kepada rakan-rakan EU-nya dan Borrell dengan mengatakan bahawa satu-satunya cara untuk menyelamatkan solusi dua negara itu adalah dengan mewujudkan "keadaan yang lebih seimbang" di antara Israel dan Palestin.

Palestin kini berusaha untuk mewujudkan sebuah negara merdeka yang merangkumi wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmuqaddis Timur (al-Quds), dengan yang menjadikan wilayah terakhir sebagai ibu negaranya.

Pada bulan November 2012, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengundi untuk menaik taraf status Palestin daripada "entiti pemerhati bukan anggota" kepada "negara pemerhati bukan ahli" di sebalik tentangan kuat dari Israel dan sekutunya.

Bendera negara Palestin telah dinaikkan untuk pertama kalinya di ibu pejabat PBB di New York pada bulan September 2015 lepas. -Press TV