Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Amerika Syarikat (AS) dan China semalam mengumumkan perjanjian fasa pertama untuk meredakan perang perdagangan antara kedua-dua negara ekonomi terbesar dunia itu yang telah berlarutan selama hampir dua tahun.
Pejabat Perwakilan Perdagangan AS memaklumkan perjanjian itu dijangka ditandatangani pada minggu pertama Januari depan merangkumi perkara utama termasuk perlindungan lebih baik untuk teknologi AS.
Washington bersetuju untuk membatalkan tarif yang dirancang akan dikuatkuasakan bermula esok namun Beijing tidak menyatakan komitmen sama untuk menarik balik cukai tambahan yang dikenakan ke atas barangan AS.
China bagaimanapun bersetuju untuk membeli barangan dan perkhidmatan dari AS bernilai lebih AS$200 bilion (RM826 bilion) untuk tempoh dua tahun akan datang.
Ia akan menyaksikan peningkatan ketara memandangkan Beijing hanya mengimport produk dan perkhidmatan AS berjumlah sebanyak AS$190 bilion (RM785 bilion) pada 2017.
Jika sasaran itu dicapai, ia akan mengurangkan defisit perdagangan AS dengan China kepada satu pertiga.
Sementara itu, Presiden Donald Trump menerusi Twitter memaklumkan mereka akan memulakan rundingan fasa kedua secepat mungkin.
"Kita tidak akan menunggu selepas Pilihan Raya Presiden AS 2020. Ini adalah perjanjian yang hebat untuk semua," katanya.
Difahamkan, jika China melanggar mana-mana kandungan perjanjian itu, pentadbiran Trump boleh melaksanakan semula tarif ke atas mereka. - Agensi
source : Sinar Harian
Sabtu
14 Disember 2019
2:08:58 PTG
993769
Amerika Syarikat (AS) dan China semalam mengumumkan perjanjian fasa pertama untuk meredakan perang perdagangan antara kedua-dua negara ekonomi terbesar dunia itu yang telah berlarutan selama hampir dua tahun.