Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Selasa

31 Disember 2019

6:59:48 PTG
997972

Fail Rahsia Dedah Margaret Thatcher Lulus Suaka Corazon Aquino

Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher dilapor meluluskan permohonan suaka oleh Corazon Aquino pada kemuncak pemberontakan, yang membolehkan beliau mengambil kuasa menerajui Filipina.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher dilapor meluluskan permohonan suaka oleh Corazon Aquino pada kemuncak pemberontakan, yang membolehkan beliau mengambil kuasa menerajui Filipina.

Perkara itu didedahkan menerusi satu dokumen rasmi milik Kerajaan Britain yang diubah status kerahsiaannya, semalam.

Dalam pemberontakan yang berlangsung selama empat hari pada 1986, Revolusi Kuasa Rakyat berjaya menamatkan pemerintahan totalitarian selama 21 tahun, Presiden Ferdinand Marcos.

Terdahulu, beliau mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya, yang dicemari dengan pelbagai tuduhan penipuan.

Menurut fail yang diterbitkan oleh Arkib Negara Britain, ketika pergolakan itu berlaku, Aquino berjaya mendapat perlindungan di Kedutaan Britain atau kediaman duta Britain di Manila.

Bagaimanapun, beliau tidak memerlukan perlindungan daripada Britain, kerana Marcos dilapor meletakkan jawatan keesokan harinya, dan kerajaan pimpinan Aquino diperakui secara rasmi.

Downing Street menyimpan surat permohonan suaka itu dalam fail mengenai hubungan antara Britain dan Filipina sepanjang 1981 hingga 1995.

Permohonan itu dibuat pada 24 Februari 1986 menerusi diplomat pejabat luar, Len Appleyard kepada setiausaha peribadi hal ehwal luar Thatcher, Charles Powell.

Katanya, Aquino memohon sama ada Britain bersedia memberikan perlindungan di kedutaannya atau kediaman duta pada jam 8 pagi (waktu tempatan Filipina) keesokan harinya, atau tengah malam di Britain.

Menurut Appleyard, permohonan Aquino untuk mendapatkan perlindungan daripada Amerika Syarikat dan Jepun ditolak, menyebabkan beliau beralih ke Britain, berdasarkan ‘hubungan mesra dan kebolehpercayaan’.

Setiausaha Luar Britain ketika itu, Geoffrey Howe menganggap sebarang tawaran perlindungan boleh mengheret negara itu, dalam hal ehwal dalaman Filipina.

Namun, Powell menjawab permohonan Aquino dengan kebenaran Thatcher pada malam terbabit, bagi menawarkan perlindungan yang diberikan, tetapi memberi amaran mereka tidak dapat menjamin keselamatan Aquino.

Thatcher yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Britain pada 1990 meninggal dunia pada 2013, pada usia 87 tahun, manakala Aquino terus kekal sebagai Presiden Filipina sehingga 1992, sebelum meninggal dunia ketika berusia 76 tahun pada 2009. - AFP